fbpx

‘Putus asa, menangis berjam-jam tapi saya kuat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELIZABETH TAN

PETALING JAYA – Penyanyi Elizabeth Tan akhirnya berjaya menawan puncak gunung tertinggi Malaysia, Gunung Kinabalu walaupun beberapa kali putus asa dan menangis menahan rasa takut pada ketinggian.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, selebriti berusia 28 tahun itu berkongsi perasaannya ketika mendaki Gunung Kinabalu yang dianggap salah satu perkara paling mencabar yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya.

“Saya masih tidak percaya dapat sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Terima kasih pada semua yang mendoakan. Cuaca pada hari itu sangat cantik, walaupun terlepas untuk merasai salji yang turun baru-baru ini.

“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Menawan puncak Gunung Kinabalu merupakan salah satu perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan. Namun berbaloi!” katanya.

Ujar Elizabeth atau mesra disapa Lizzy itu lagi, dia mengakui berasa sangat takut memikirkan beberapa perkara seperti takut pada kegelapan, ketinggian dan keseorangan sehingga menyebabkan dirinya menangis.

“Selepas mendaki, saya menangis selama berjam-jam memikirkan hal tersebut (ketakutan). Namun saya putuskan untuk mengharungi cabaran itu dan membuktikan pada diri sendiri bahawa saya seorang wanita yang kuat.

“Banyak kali saya hampir berputus asa dan memikirkan bahawa saya akan mati di atas puncak Gunung Kinabalu. Tapi saya paksa juga diri untuk sampai ke puncak dan turun dengan selamat. Saya perlu yakin pada diri sendiri dan sebenarnya saya boleh,” katanya.

Dalam hantaran itu juga, Lizzy turut berkongsi beberapa keping gambar kenangan ketika berada di puncak Gunung Kinablu dengan pemandangan yang cukup indah.

Sekadar info, Gunung Kinabalu yang terletak di daerah Ranau, Sabah merupakan gunung yang tertinggi di Malaysia iaitu setinggi 4,095 meter dari paras laut dan yang ketiga tertinggi di Asia Tenggara selepas Gunung Hkakabo Razi di Myanmar dan Puncak Jaya di Indonesia.

Pada 28 Februari lalu, heboh dalam media sosial apabila seorang malim gunung menunjukkan fenomena salji turun di Gunung Kinabalu yang dianggap kejadian jarang berlaku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI