fbpx

Ayda Jebat tidak kisah digelar paranoid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYDA JEBAT

SEJAK bergelar ibu kepada seorang cahaya mata bernama Ana Layla, penyanyi dan juga pelakon Ayda Jebat terpaksa memperlahankan rentaknya dalam industri seni hiburan tanah air.

Jika sebelum ini wajahnya sering menghiasi kaca televisyen membintangi pelbagai judul drama rantaian, hari ini Ayda atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat, 30, lebih memilih untuk bersama anak kesayangannya di rumah.

Sejak mendirikan rumah tangga bersama suami, Nabil Mahir pada 1 Januari 2021, sehinggalah bergelar seorang ibu, Ayda bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan.

Lebih mudah apabila pelantun lagu Temberang itu dikurniakan suami yang begitu memahami dan ringan tulang untuk membantunya menguruskan anak.

“Alhamdulillah. Rezeki dikurniakan suami yang ringan tulang. Saya juga bersyukur diberikan seorang zuriat yang sangat senang untuk dijaga.

“Kalau di rumah, Nabil banyak membantu saya menguruskan anak. Apabila sudah menjadi ibu, perasaan saya terus bertukar,” katanya.

Bercakap lebih lanjut, Ayda berkata, dia tidak pernah merasai perasaan terlalu sayang, selain menyayangi kedua-dua orang tuanya dan suami. Namun sejak mempunyai anak, segala-galanya berubah.

BERAT Ayda selepas bersalin lebih ringan ketika sebelum hamil. Sebelum hamil berat 47 kilogram (kg) kini 45kg.

“Ana Layla sangat istimewa untuk saya dan Nabil. Bergelar seorang ibu membuatkan saya bukan sahaja sayangkan anak, tetapi menjadi bertambah sayang kepada ibu sendiri.

“Baru kita sedar betapa hebatnya bergelar seorang ibu,” kata Ayda.

Bercakap tentang pendekatannya dan Nabil yang dianggap ‘keterlaluan’ dalam melindungi anak mereka, Ayda tidak kisah jika dilabel sebagai ‘over protective’ demi memikirkan keselamatan bayi yang mencecah usia enam bulan itu.

Kata Ayda, di tengah-tengah kemelut pandemik Covid-19, dia perlu memainkan peranan untuk memastikan bukan sahaja anaknya, bahkan individu yang berada di sekelilingnya turut terjaga.

“Saya memang sangat risaukan tentang kesihatan keluarga. Buat masa sekarang, kesihatan keluarga menjadi keutamaan saya.

“Biarlah orang mahu cakap saya ‘over’, asalkan anak saya selamat. Saya rasa ramai ibu bapa juga sependapat dengan saya. Kalau anak sakit, saya juga yang jaga dan bimbang, bukannya mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon drama Cindai itu turut mengakui paranoid dengan situasi sekeliling.

“Saya memang paranoid. Setiap hari, saya dan Nabil akan melakukan ujian calitan Covid-19, terutama jika perlu keluar untuk bekerja atau ke hospital untuk pemeriksaan anak.

“Kebanyakan masa kami hari ini 90 peratus berada di rumah. Saya juga belum bersedia dengan segala tawaran lakonan setakat ini. Harap-harap pihak produksi dan stesen televisyen faham keadaan ibu baharu seperti saya,” katanya.

Mengakui rindu untuk kembali bekerja di hadapan kamera, Ayda masih menunggu masa yang sesuai.

“Insya-Allah saya pasti akan kembali ke bidang lakonan. Apa-apa pun, tunggu masa yang sesuai dan selepas saya berani berdepan dengan orang ramai.

“Sebab ketika berlakon kena buka pelitup muka. Jadi risikonya agak tinggi. Saya tidak mahu disebabkan berkerja (berlakon), keluarga akan dijangkiti. Buat masa sekarang saya lebih selesa dan berasa selamat berada di rumah bersama suami dan anak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI