fbpx
Polis Bukit Aman memberi jaminan akan mengheret ahli sindiket pelaburan haram, Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining yang menipu duit orang ramai hampir RM1 juta ke muka pengadilan. – gambar hiasan

Skim temberang konon patuh syariah rugi RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dua skim pelaburan dikenali sebagai Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining yang giat menipu orang ramai hingga mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.

Lebih licik apabila sindiket pelaburan yang menggunakan nama Islam untuk menjalankan kerja haram tersebut menyatakan kononnya skim itu patuh syariah dan mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, skim yang aktif sejak penghujung 2021 itu menggunakan media sosial untuk mencari pelabur dengan membuat pelbagai tawaran untuk menjadi kaya.

Katanya, setakat semalam, pihaknya telah membuka seba­nyak 66 kertas siasatan membabitkan kedua-dua skim tersebut.

“Sebanyak 38 kertas siasatan membabitkan pelaburan Al Kahtifah Trust telah dibuka­ membabitkan kerugian RM468,870.

“Bagi skim Madinah Mining pula, sebanyak 28 laporan telah dibuat oleh mangsa mengatakan wang pelaburan mereka berjumlah RM343,282 telah lebur akibat ditipu sindiket,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Kamarudin, siasatan mendapati, skim itu menawarkan pakej pelaburan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

Tambahnya, mereka turut menyatakan kononnya pelaburan itu patuh syariah dan mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia bagi meyakinkan pelabur.

“Polis memberi jaminan untuk menjalankan siasatan dengan terperinci bagi memastikan ahli sindiket dituduh di mahkamah,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memberi perhatian dan membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutamanya yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat daripada Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi mengelakkan daripada ditipu.

Terdahulu, media melaporkan, Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang juga suami selebriti, Datin Seri Heliza Helmi mendakwa sindiket pelaburan tersebut telah menggunakan namanya untuk memperdaya mangsa.

Beliau mengesan pihak dan individu terbabit menggunakan akaun palsu di media sosial se­perti Facebook, Instagram serta Telegram untuk melakukan penipuan.

Berikutan itu, pihaknya sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI