fbpx

Gagal cuba seludup dadah dalam tisu basah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DADAH jenis heroin dan pemetik api yang dijumpai dalam bungkusan tisu basah yang dikirim kepada pesakit di Hospital Teluk Intan semalam.

TELUK INTAN – Cubaan seorang wanita menyeludup dadah jenis heroin dalam bungkusan tisu basah untuk rakannya yang dirawat di Hospital Teluk Intan di sini gagal apabila bahan terlarang itu dikesan jururawat semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima aduan kes itu pukul 4.05 petang daripada jururawat yang memberitahu dia menemui dua peket plastik lut sinar berisi dadah dalam bungkusan tisu basah.

Katanya, tisu basah itu diterima bersama bungkusan plastik berisi biskut daripada pengawal keselamatan yang menerima kiriman berkenaan daripada seorang wanita bernama Ika.

“Ika menyerahkan bungkusan itu untuk diberikan kepada rakan lelakinya yang sedang dirawat di wad akibat cedera patah tulang belakang kerana terjatuh.

“Jururawat tersebut telah memeriksa bungkusan plastik itu dan menemui sebungkus biskut dan tisu basah. Dalam bungkusan tisu basah itu berisi dadah dipercayai heroin seberat 2.25 gram bersama pemetik api,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati, pesakit itu telah berada di wad hospital berkenaan selama dua minggu untuk menerima rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.

Katanya, pesakit berusia 34 tahun itu bekerja sebagai buruh ladang sawit dari Ayer Hitam, Chui Chak dan dia telah menghubungi Ika untuk menghantar barang tersebut ke hospital bagi kegunaannya.

“Berdasarkan siasatan awal, Ika tinggal sekampung dengan pesakit dan wanita itu diminta mengambil barang (dadah) daripada seseorang dan menghantar terus kepada lelaki itu di Hospital Teluk Intan.

“Sehubungan itu, kita telah merampas dadah dianggarkan bernilai RM600 dan telefon bimbit pesakit untuk siasatan lanjut sekali gus mengesan Ika. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan dilakukan di rumah wanita itu dan mendapati tiada penghuni dipercayai telah melarikan diri.

“Tangkapan akan dilakukan ke atas pesakit terbabit sebaik sahaja dia selesai menerima rawatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI