KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan semakin menurun apabila seramai 4,403 orang mangsa ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding petang semalam apabila 5,733 orang ditempatkan di 19 buah PPS ketika itu.
Hanya dua daerah terjejas banjir iaitu Pasir Mas dengan 3,766 orang mangsa banjir dan 637 orang di Tumpat dengan melibatkan sebanyak 1,409 buah keluarga.
Bagaimanapun, menurut laman web ebanjir.kelantan.gov.my, paras sungai utama di Kelantan iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan dan Sungai Golok masih berada pada paras bahaya.
Hanya Sungai Semerak, Pasir Puteh menunjukkan bacaan paras berjaga-jaga. – KOSMO! ONLINE