SHAH ALAM – Tiga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) nyaris maut dilanggar lori yang mengundur dalam kejadian di Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 12.46 tengah hari ketika pemandu lori berusia 43 tahun itu pergi membeli air dan meninggalkan jentera itu yang mengalami kerosakan brek di tepi jalan tanpa memasang brek.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, semasa kejadian anggota JPJ dalam proses hendak mengeluarkan saman terhadap lori jenis Nissan.
Katanya, dua daripada anggota ketika itu sedang menuju lori tersebut manakala seorang lagi di dalam kenderaan peronda JPJ.
“Lori itu kemudiannya mengundur tanpa pemandu dan melanggar kenderaan JPJ sehingga berpusing lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.
“Manakala lori telah terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, tiada sebarang kecederaan dialami ketiga-tiga anggota JPJ berusia 24 hingga 42 tahun.
Difahamkan, pemandu lori yang tiba kemudiannya selepas membeli air terkejut dengan insiden tersebut.
“Kes disiasat mengikut Rule 14 (1) (b) LN 166/59 kerana tidak memasang brek semasa meninggalkan kenderaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE