PETALING JAYA – Penyerang Kedah Darul Aman (KDA FC), Syafiq Ahmad mahu rakan sepasukan tidak memandang ‘enteng’ dengan kemampuan Sarawak United FC menjelang aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
Syafiq yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) menganggap perlawanan nanti pastinya lebih sukar dari dijangka memandangkan ia merupakan aksi pertama Sarawak United dalam pentas Liga Super yang pastinya enggan kehilangan mata di laman sendiri.
“Rasa gemuruh, teruja dan semua ada sebab ini adalah perlawanan pertama dan mesti lah Kedah pun ingin menang dalam aksi pertama ini.
“Kita tahu Sarawak United bertukar jurulatih pada penghujung pra musim, tetapi itu tidak bermakna apabila mereka tukar jurulatih, persiapan pasukan akan terjejas.
“Saya percaya persediaan mereka mungkin lebih baik, mana tahu kan lebih-lebih lagi beraksi di stadium sendiri dan ini adalah aksi pertama mereka dalam Liga Super, jadi Kedah tidak akan beri laluan mudah untuk cuba menang malam esok,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Sarawak United ketika ini dikendalikan oleh pengendali berpengalaman, B. Sathiananthan manakala skuad Sang Kenari pula dibimbing oleh jurulatih import dari Singapura, Aidil Sharin Sahak. -KOSMO! ONLINE