PENYANYI Jeon Soyeon menerusi agensinya, Cube Entertainment tampil membuat permohonan maaf atas kontroversi plagiat lagu final untuk program My Teen Girl.
My Teen Girl merupakan program realiti terbitan MBC yang melabuhkan tirai pada 27 Februari lalu dan Soyeon yang bertindak selaku mentor diberi kepercayaan menghasilkan lagu final berjudul SUN.
Selepas program tersebut bersiaran, penonton mendapati persamaan antara lagu berkenaan dengan bahagian korus lagu milik kumpulan Ateez berjudul, Waze.
Cube Entertainment dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya cuba menyelesaikan konflik berkenaan dengan mengambil keputusan meletakkan nama produser asal lagu tersebut dalam bahagian kredit.
“Bagaimanapun, sejam sebelum dilancarkan, agensi produser itu menolak cadangan kami (beri kredit). Tetapi proses siaran bersama syarikat penerbitan sudah pun dilakukan.
“Jadi lagu tersebut terpaksa dilancarkan. Sekali lagi, kami mohon maaf atas kejadian ini. Kami berjanji perkara sebegini tidak akan berlaku lagi,” katanya.