fbpx

42,166 berjaya dapat kerja Januari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat NEC di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Seramai 42,166 individu berjaya mendapat pekerjaan pada Januari lalu menerusi inisiatif yang telah dilaksanakan agensi pelaksana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,200 pekerjaan baharu berjaya diwujudkan dalam tempoh sama,

“Ia mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran mencipta 600,000 pekerjaan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (NEC) bagi membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan dengan kerjasama pelbagai Kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan pada tahun lalu.

“Pencapaian ini adalah 112 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan dan kerajaan yakin bahawa ia boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi pada 2022,” katanya.

Di samping itu, katanya, NEC juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) merupakan langkah yang boleh diambil dalam menangani isu tersebut dan sokongan daripada pihak majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca pandemik.

“Inisiatif JaminKerja mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

“Majlis bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 di bawah MySTEP,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, sebagaimana aturan sebelum ini, pencapaian sasaran itu akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI