fbpx

Calon SPM positif, kuarantin, boleh ambil pada sidang kedua April nanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi Jidin beramah mesra dengan guru ketika meninjau keadaan sekolah yang menempatkan pelajar-pelajar menduduki peperiksaan SPM 2021 di SMK Kota Masai 1, Masai, Pasir Gudang, Johor hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang berada dalam tempoh kuarantin akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua iaitu pada bulan April.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, calon-calon berkenaan tidak perlu berasa bimbang sebaliknya hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, calon berkenaan atau ahli keluarga mereka hanya perlu membuat surat deklarasi secara bertulis dan menyertakan dokumen berkaitan.

“Pengetua akan sahkan sama ada benar pelajar itu positif dengan menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi dan surat bertulis.

“Jadi calon dan keluarga mereka tidak perlu berasa risau, kalau mereka ada bukti tersebut mereka boleh menduduki sidang SPM kedua iaitu pada April nanti,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Pasir Gudang sempena hari pertama SPM, hari ini.

Bagi peperiksaan SPM 2021 ini, seramai 407,097 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara manakala seramai 50,317 daripada mereka merupakan calon di negeri ini.

Tambah Radzi, bagi calon yang baharu diketahui positif ketika sedang menduduki peperiksaan pula, mereka akan diletakkan di sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah terbabit.

Sementara itu, berhubung lawatan beliau ke sekolah berkenaan, pihaknya memberitahu SPM 2021 ini berlangsung dalam skala lebih besar apabila ia dilaksana dengan menggunakan hampir kesemua kelas di sekolah.

“Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM ini berlangsung dengan teratur dan selamat.

“Manakala calon-calon di kawasan banjir seperti di Kelantan yang mana sekolah dan pusat peperiksaan ditutup dan tiada lokasi alternatif bersesuaian, mereka akan laksanakan kertas hari ini pada bulan April nanti, tetapi selebihnya baik,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI