fbpx
Tambah pengikut di media sosial, clickbait untuk jana duit puluhan ribu ringgit melalui iklan

Sebar berita palsu untuk jana duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyebaran berita atau maklumat palsu di negara ini semakin ‘membarah’ apabila makin ramai individu atau pihak yang berani bertindak sedemikian semata-mata untuk menjana keuntungan puluhan ribu ringgit secara mudah.

Modus operandi mereka se­nang dengan hanya menyebarkan berita yang bersifat sensasi dan kontroversi tanpa memastikan kesahihan kandungan itu di pelbagai platform media sosial.

Sikap rakyat negara ini pula yang lebih sukakan berita seperti itu akan mampu menarik minat mereka untuk membacanya, sekali gus akan menambah followers dan clickbait sehingga meningkatkan trafik akaun si penyebar berita palsu.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu berita atau maklumat tersebut mudah tersebar dengan meluas tanpa batasan.

“Antaranya kerana pemilik akaun di media sosial menyebarkan sesuatu maklumat yang bersifat sensasi tanpa memeriksa kesahihan bagi menarik minat pengguna untuk membacanya.

“Ia secara tidak langsung akan dapat menaikkan trafik akaun mereka, menambah followers dan clickbait, seterusnya mereka mampu menjana keuntungan hasil pengiklanan yang diterima daripada syarikat-syarikat ter­tentu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

ZULKARNAIN

Zulkarnain memberitahu, selain itu, sikap netizen yang suka berkongsi berita atau maklumat dengan segera ke akaun mereka tanpa memastikan kesahihannya menyebabkan sesuatu berita palsu mudah tersebar secara meluas dan tular.

Katanya, sesetengah berita sengaja bermain dengan emosi bagi menarik minat pengguna media sosial untuk membaca dan menyebarkannya.

“Dianggarkan secara purata dalam tempoh 60 saat sahaja, berbilion maklumat dikongsikan menerusi internet di seluruh dunia termasuk berita palsu.

“Impak media sosial memainkan peranan yang sangat pen­ting dan berita palsu ini adalah fenomena global yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan turut melibatkan pelbagai ­negara,” ujarnya.

Bagaimanapun, Zulkarnain berkata, penyebaran berita palsu di negara ini masih dalam peringkat terkawal dan MCMC sentiasa melakukan pemantauan termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu atau pihak terlibat.

“Tidak dinafikan, media sosial memainkan peranan pen­ting dalam kehidupan seharian, namun pengguna media sosial harus bijak dan memeriksa terlebih dahulu kandungan maklumat yang ingin disampaikan kerana bimbang ia hanya meningkatkan kegusaran awam.

“Mereka perlu memeriksa terlebih dahulu tarikh dan fakta sesuatu berita atau maklumat yang dibaca bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN