fbpx
Penduduk di Kampung Jubakar Darat, Tumpat mula berpindah selepas air mula meningkat di kampung mereka sejak petang semalam.

Banjir: Penduduk Tumpat mula berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Penduduk di 10 buah kampung di daerah ini menjadi mangsa banjir terbaharu di Kelantan selepas rumah mereka mula dinaiki air petang semalam.

Tinjauan Kosmo! di Kampung Jubakar Darat dan Kampung Jejulok di sini mendapati, ramai penduduk mula berpindah dengan menaiki bot atau perahu malah ada yang menumpang kenderaan berat dan berjalan kaki meredah banjir.

Mangsa banjir, Muhamad Faizul Zailani, 30, berkata, dia segera keluar dari rumah bersama isteri, Nor Azma Che Mansor, 29, dan bayi lelaki, Muhamad Anas Faqeh berusia setahun sembilan bulan kerana bimbang paras air semakin naik di kawasan rumah mereka.

“Air semakin naik sejak petang semalam sehingga menyebabkan kami tidak dapat tidur lena malam tadi sebelum mendapati air sudah masuk ke bahagian dapur rumah.

“Saya dan isteri segera mengemas dokumen penting dan barangan peribadi untuk menumpang di rumah saudara kami di bandar Tumpat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Muhamad Faizul berkata, dia bernasib baik kerana memiliki sebuah bot yang boleh digunakan untuk meredah banjir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kampung terbabit, Mohamad Abdul Rahman, 62, berkata, rumahnya sering dinaiki air setiap kali tiba musim bah, namun air pada banjir kali ini naik dengan cepat.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara ekoran tidak dapat menumpang rumah ibu bapa terletak satu kilometer dari rumahnya yang turut ditenggelami banjir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN