fbpx

Banjir: 708 calon SPM di Pasir Mas tangguh peperiksaan BM, BI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi (kiri) beramah mesra dengan calon SPM semasa mengadakan lawatan di SMKA Lati, Pasir Mas hari ini. - Foto oleh YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS – Seramai 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di tujuh buah sekolah di daerah ini tidak akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) yang dijadualkan pada esok dan lusa.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kesemua pelajar itu akan kembali menduduki peperiksaan bagi dua kertas tersebut pada sidang kedua yang berlangsung April ini.

Ia melibatkan calon SPM dari Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Khairiah Banggol Stol, SMU (Arab) Al-Falah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, SMK Rantau Panjang, SMK Baroh Pial dan Mahaad Muhammadi Rantau Panjang.

“Peperiksaan pada April ini hanya melibatkan mata pelajaran BM dan BI. Pelajar terbabit terpaksa menangguhkan dua kertas peperiksaan itu berikutan tujuh buah sekolah dilanda banjir selain tiada pusat peperiksaan alternatif di daerah ini.

“Sidang kedua untuk SPM bukan perkara baharu. Tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan keadah sama berikutan terdapat calon SPM yang positif Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMKA) Lati di sini hari ini.

Radzi memberitahu, peperiksaan bagi kertas peperiksaan lain berjalan seperti biasa, namun bergantung kepada situasi semasa banjir.

Menurutnya, calon SPM yang terkesan banjir atau sukar ke pusat peperiksaan boleh berhubung dengan guru atau pengetua sekolah untuk tindakan lanjut.

“KPM sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan SPM berjalan lancar. Calon yang terjejas boleh memakai pakaian yang bersesuaian sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya berlaku banjir atau paras air semakin naik dalam tempoh peperiksaan berlangsung sehingga menjejaskan pusat peperiksaan,“ katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI