fbpx

TDM untung RM81.4 juta tahun 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hospital Pakar Kuala Terengganu, salah sebuah rangkaian pusat kesihatan dimiliki Kumpulan TDM.

PETALING JAYA – TDM Berhad (TDM) merekodkan pendapatan berjumlah RM511 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, paras tertingginya dalam tempoh 10 tahun hasil prestasi lebih baik daripada bahagian perladangan dan bahagian penjagaan kesihatan.

Kumpulan turut melaporkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM181.9 juta, berbanding RM109.6 juta pada 2020.

Keuntungan sebelum cukai pula berjumlah RM81.4 juta dan ini termasuk keuntungan terkumpul one-off berjumlah RM40.4 juta daripada skim pajakan kecil.

TDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, bahagian perladangan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya hasil harga purata minyak sawit mentah dan isirong sawit yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 58 peratus dan 77 peratus.

“Kami kini sedang mempercepatkan pembinaan infrastruktur tebatan banjir bagi memudahkan pemindahan buah tandan segar semasa musim tengkujuh memandangkan insiden banjir yang kerap berlaku di Pantai Timur.

“Pelaburan secara one-off ini akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, berhubung bahagian penjagaan kesihatan, TDM berkata, ia mencatatkan pendapatan 11 peratus lebih tinggi berbanding 2020, hasil peningkatan dalam bilangan pesakit luar sebanyak 24 peratus dan purata pendapatan bagi setiap pesakit dalam sebanyak 13 peratus.

Tambahnya, tahun 2022 dijangka menjadi lebih baik dengan aliran pesakit yang stabil berikutan peningkatan kadar vaksinasi dan pengambilan dos penggalak dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kes pediatrik dijangka sekali lagi menyumbang secara ketara kepada pendapatan hospital di samping kes disiplin utama yang lain.

“Dalam meningkatkan kesedaran jenama di Pantai Timur, Kumpulan TDM kini menumpukan perhatian
kepada usaha menubuhkan Pusat Jagaan Ambulatori di Terengganu, pusat perubatan baharu di Kemaman iaitu KMI Chukai Medical Centre dan membangunkan hospital baharu di kawasan lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI