PETALING JAYA – Siapa sangka dalam kemewahan mengoperasikan perniagaan berkaitan percutian dan pengembaraan, pandemik maut telah menyebabkan para pemainnya berdepan dengan impak paling buruk dalam hidup masing-masing.
Mereka hampir tersungkur rebah kerana sempadan antarabangsa ditutup, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih mengerikan dibebani hutang serta perbelanjaan lain yang menyukarkan.
Kemelut itu membuatkan ada dalam kalangan mereka jatuh sakit atau menjadi murung.
Begitu juga kepayahan yang dihadapi Pengasas ATN Tourism & Travel Corporation (M) Sdn. Bhd. (ATN), Izham Istar dalam meredah rutin baharu dengan melakukan pelbagai kerja sampingan demi kelangsungan hidup serta keluarga.
Antara ikhtiarnya adalah dengan membuka perniagaan kafe di Labu, Negeri Sembilan dengan menjual nasi arab sehinggalah beliau ditemukan dengan rakan lama yang juga seorang usahawan berjaya dalam industri berkaitan perubatan, Datuk Tajuddin Abdul Latiff.
Melalui persepakatan baharunya, Izham yang pernah tinggal di Turki selama 16 tahun, kini bangkit meneruskan empayar perniagaannya dalam industri pelancongan tetapi menjurus kepada pasaran khusus iaitu memenuhi permintaan pelanggan daripada orang kenamaan (VIP) dan pakej pelancongan premium.

“Satu kesalahan utama saya dalam bidang pelancongan selama 27 tahun lalu adalah saya tidak membuat pelan kecemasan lain yang boleh menyokong perniagaan teras ini sekiranya ada bencana yang berlaku.
“Pandemik yang tidak dijangkakan melanda satu dunia memberi impak besar buat kami pemain dalam industri pelancongan. Jika sebelum ini kehidupan mewah dikecapi tetapi sepanjang dua tahun itu, ia adalah satu tempoh yang sangat getir untuk dihadapi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Usahawan yang berasal dari Perak itu menceburi bidang pengembaraan sebagai pemandu pelancong separuh masa ketika menyambung pelajaran di Istanbul, Turki.
Kelebihannya bertutur dalam bahasa ibunda negara itu memberi kelebihan buat dirinya untuk dipilih kumpulan pelancong dari Malaysia.
Izham yang berpengalaman dalam selok-belok mengenai tarikan istimewa di negara tersebut akan membawa pelanggannya berkunjung ke tempat bersejarah unik dan jarang dilawati pelancong asing lain.
Lima tahun menimba pengalaman bekerja dengan sebuah syarikat di negara berkenaan, beliau memberanikan diri membina empayar sendiri pada tahun 1998 sehingga tertubuhlah ATN.
Langkahnya diteruskan lagi dengan menjadi rakan kerjasama strategik sebuah kumpulan pelancongan kukuh di Turki.

Melalui pegangan ekuiti 60 peratus dan suntikan modal ke dalam empayar ATN oleh pelabur asing itu selama tiga tahun, syarikat mula mencatat pertumbuhan yang menggalakkan.
“Sehinggalah pada tahun 2000, persaingan makin sengit dengan pertambahan syarikat pelancongan khususnya dari pada kalangan rakyat Turki sendiri yang mempromosikan produk pelancongan di Malaysia.
“Pastinya pakej pelancongan mereka lebih menarik dan harganya lebih murah sehingga lama -kelamaan pelanggan kami beralih haluan.
“Tsunami tersebut memberi idea baharu kepada syarikat untuk beralih arah kepada pasaran pelanggan VIP, pakej premium dan pakej custom made yang mengikut bajet, masa dan destinasi pelancongan yang dipilih mereka,” jelasnya.
Ternyata inisiatif itu berjaya menarik ramai pelanggan daripada kumpulan berpendapatan tinggi termasuk pemimpin negara, ahli politik dan kerabat diraja.
Tidak berhenti di situ, perniagaannya terus berkembang dengan menembusi pasaran ke Indonesia selain membentuk kerjasama dengan syarikat penerbangan, Uzbekistan Airways serta sebuah syarikat perkapalan daripada Kumpulan Genting.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya dalam fasa endemik ini, Izham yang kini bangkit dengan semangat baharu akan meneruskan langkahnya dalam industri pelancongan tetapi lebih tertumpu kepada kumpulan sasaran berpotensi.
Seiring pembukaan sempadan, permintaan mula bertambah terhadap pakej yang ditawarkan dan sehingga kini syarikat mampu mencatat jualan sehingga RM1 juta sebulan.
Destinasi pelancongan unik khususnya melawat ke pelbagai tempat sejarah zaman nabi menjadi pilihan pakej syarikat pada tawaran harga serendah RM5,000 ke atas seorang.
Tambah beliau, pakej ke Balkan dijangka diperkenalkan selepas hari raya kerana keinginan pelancong Malaysia terlalu tinggi pada masa ini untuk melancong semula seperti sebelum berlakunya pandemik.














