DILIPUTI hutan tropika yang luas, pulau Borneo pernah dianggap sebagai salah satu kawasan terpencil dan menjadi habitat kepada hidupan liar di Bumi.
Selain itu, Borneo juga menjadi tempat yang menjadi habitat utama orang utan selain Sumatera di dunia.
Namun, Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) menjelaskan, orang utan di kawasan itu berdepan bahaya besar setelah aktiviti penerokaan hutan dan pertanian menghapuskan habitat haiwan itu sejak beberapa dekad lalu.
Penerokaan hutan menyebabkan banyak spesies itu hilang dan terancam.
Agensi berita CNN melaporkan, kini orang utan di Borneo terutamanya di Kalimantan Timur, Indonesia berhadapan masalah baharu.
Ia berikutan, kerajaan Indonesia meneruskan rancangan untuk memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke wilayah Kalimantan Timur yang mempunyai kawasan hutan tebal.
Kerja-kerja untuk membangunkan ibu negara baharu dikenali sebagai Nusantara itu mungkin bermula tahun ini, manakala penempatan di situ akan bermula pada tahun 2024.
Kerajaan Indonesia membayangkan akan membangunkan ‘bandar pintar dalam hutan’ sebagai hab inovasi.
Dalam keterujaan membangunkan ibu negara baharu, terdapat kebimbangan terhadap hutan hujan tropika dan hidupan liar di situ.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menegaskan, manusia sedang mendorong orang utan untuk pupus.

Tanpa ‘perubahan transformatif’ dalam tingkah laku manusia, haiwan yang sangat terancam itu boleh pupus dalam masa beberapa dekad.
Ini mencetuskan kebimbangan bahawa pembangunan sebuah ibu negara itu bakal menyebabkan masa depan salah satu makhluk paling luar biasa di planet ini terancam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelamat Orang Utan Borneo, Anton Nurcahyo berkata, langkah itu akan membawa populasi besar manusia di situ.
“Ini akan menyebabkan berlaku permintaan besar untuk perubahan kepada penggunaan tanah bagi membangunkan kompleks perumahan dan pejabat baharu serta pusat pengeluaran makanan.
“Kesannya sudah pasti akan mewujudkan perubahan besar kepada habitat di sekitarnya,” jelasnya.
Untuk rekod, yayasan itu melakukan kerja-kerja pemuliharaan orang utan di Kalimantan Timur pada tahun 1991.
Sejak 2006, pusat perlindungan orang utan Samboja Lestari telah merawat dan menjaga orang utan-orang utan yang cedera atau yatim piatu selepas diselamatkan dari hutan yang musnah akibat aktiviti pembalakan dan penanaman sawit.
Pusat tersebut terletak di kawasan agak hampir dengan lokasi ibu negara yang akan dibangunkan itu.
Kakitangan di yayasan itu menjaga lebih 120 orang utan yang diselamatkan dan kemudian dilepaskan semula.

Jelas Anton, memang daerah Sepaku dan Samboja yang bersebelahan kawasan dikhususkan untuk pembangunan ibu negara baharu itu tidak mempunyai populasi orang utan liar.
“Tetapi pusat pemuliharaan orang utan terletak di sini (Samboja), di hutan seluas 1,850 hektar yang perlu dipelihara dalam keadaan sekarang,” katanya.
Badan bukan kerajaan dan penduduk tempatan risau dengan pembangunan ibu negara baharu yang bakal didiami kira-kira 1.5 juta orang itu berkemungkinan memudaratkan alam sekitar.
Kemasukan penjawat awam dan keluarga mereka dari Jakarta akan menyebabkan hak orang tempatan dan haiwan liar di situ dirampas.
Anton berkata, tahap ancaman kepada hidupan liar di situ bergantung kepada perancangan dan tinjauan yang sedang dijalankan.
“Dengan ekosistem unik di Kalimantan Timur, adalah penting untuk mempunyai rancangan mitigasi disesuaikan dengan keperluan alam sekitar yang khusus,” katanya.
Sementara itu, kerajaan tempatan berjanji alam sekitar akan dilindungi walaupun di Kalimantan telah menyaksikan kehilangan habitat yang besar serta pembunuhan antara 2,000 hingga 3,000 orang utan sejak 1970-an.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), orang utan berada dalam senarai merah sebagai spesies terancam.
Sementara itu, para pegawai kerajaan telah bertindak untuk meredakan kebimbangan tentang kesan pembangunan ibu negara baharu itu terhadap alam sekitar.
Kerajaan Indonesia telah berjanji tiada hutan terlindung akan disentuh untuk pembangunan projek mega bernilai AS$32 bilion (RM133 bilion) itu.
Ia disifatkan akan menjadi ‘bandar pintar dengan teknologi hijau dan mesra alam sekitar’.

Dalam pada itu, Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor mengakui, beberapa pokok akan tumbang untuk memberi laluan kepada pembangunan tapak berkeluasan 2,560 kilometer persegi itu.
Keluasan tersebut hampir empat kali ganda saiz Jakarta.
“Sudah tentu, akan ada sedikit pengorbanan, tetapi akhirnya kami menyasarkan untuk kembali mencapai pemulihan hutan.
“Apabila pembangunan selesai, akan ada sekurang-kurangnya 70 peratus kawasan hijau terbuka,” terangnya.
Infrastruktur yang kurang baik serta aktiviti pembalakan berterusan walaupun dalam rizab alam semula jadi setakat ini menghalang sektor pelancongan di Kalimantan.
Kini kerajaan tidak sabar untuk mencipta ibu negara baharu itu bagi menarik pelancong asing dan pelabur.
Tetapi mereka juga menyedari kepentingan ekopelancongan dan kebanyakan pelawat melancong ke situ adalah untuk melihat hidupan liar.
Dalam pada itu, Ketua Agensi Perancangan Pembangunan Wilayah Kalimantan Timur, Bappeda Kaltim berkata, alam semula jadi dan urbanisasi akan wujud bersama di situ.
“Kajian alam sekitar yang strategik sedang dijalankan untuk memastikan hutan dijaga. Apa yang penting, kawasan ini boleh menjadi destinasi ekonomi, pelancongan dan lain-lain,” jelasnya.
Sementara itu, di sebalik retorik hutan tropika di Borneo sebagai ‘paru-paru dunia’ sebenarnya berlaku pembakaran hutan berterusan di situ.
Banyak kebakaran yang disengajakan bagi membersihkan tanah untuk pertanian. Ada juga yang bimbang aktiviti pembalakan, pembersihan tanah dan kebakaran hanya akan menjadi lebih teruk apabila pembinaan bermula.














