fbpx

Lakonan kikis sikap pemalu Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGALAMAN di lokasi penggambaran menjadikan Khai Bahar seorang yang lebih berkeyakinan berbanding tahun-tahun pertama masuk ke dunia nyanyian arus perdana.

PENYANYI Khai Bahar mendedahkan pembabitan dalam dunia lakonan berjaya mengikis sikap pemalunya yang menebal.

Katanya, dia lebih berkeyakinan sejak serius mencuba nasib sebagai pelakon tiga tahun lalu, berbanding ketika awal kemunculan di pentas nyanyian arus perdana sekitar 2016.

“Saya akui lakonan banyak membantu saya untuk lebih yakin berhadapan orang ramai selain percaya terhadap kemampuan diri.

“Ikutkan, sejak dahulu memang sangat pemalu, malah dalam kalangan adik beradik pun boleh dikatakan saya paling kurang bercakap.

“Biarpun sudah bergelar penyanyi enam tahun lalu, saya dapat rasa perubahan beberapa tahun kebelakangan ini apabila sudah tak segan memulakan perbualan dengan kawan baharu.

Pengalaman

“Saya perasan, pergaulan, komunikasi di set serta pengalaman sesudah terbabit dalam beberapa drama membuatkan saya lebih terbuka. Pengalaman berlakon juga membantu di pentas persembahan,” katanya.

Ditemui ditemui pada Anugerah JOOX Top Music 2021 yang menyaksikan dirinya membawa pulang dua trofi iaitu Top Hit: Lokal menerusi lagu Sengsara serta Top 5 Artis: Lokal, Khai sebenarnya muncul sebagai bintang sensasi pop Malaysia dan mengekalkan penguasaan dalam kategori berkenaan selama dua tahun berturut-turut.

Turut berada dalam senarai penerima anugerah Top 5 Artis: Lokal ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ukays, Haqiem Rusli serta kumpulan XPDC.

Mengenai pengiktirafan berkenaan, dia menganggap pencapaian tersebut sebagai penyuntik semangat untuk terus memberikan hasil terbaik apatah lagi mampu mempertahankannya untuk tempoh dua tahun tanpa tergugat.

KHAI BAHAR meneruskan penguasaan dalam kategori Top Hit: Lokal menerusi lagu Sengsara dan Top 5: Artis Lokal untuk dua tahun berturut-turut.

“Sebagai penyanyi kita kena gunakan segala platform penstriman sebagai medium perkongsian sama ada minat, karya mahu pun menghimpunkan peminat baharu.

“Macam sekarang saya turut aktif dalam TikTok yang juga antara medium tumpuan ramai generasi muda, sekali gus mendekatkan lagi kelompok pendengar dengan perkembangan atau promosi produk.

“Banyak video yang saya kongsikan di situ. Seronok juga dapat berinteraksi dengan peminat menerusi landasan berbeza dan terima banyak maklum balas,” katanya.

Keluarga

Ditanya mengenai keadaan kesihatan keluarganya, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu meluahkan rasa syukur apabila kesihatan sembilan anggota keluarganya semakin pulih daripada Covid-19.

Khai berkata, dia kini boleh menarik nafas lega melihat perkembangan insan kesayangan termasuk ibu tercinta yang hanya berdepan gejala ringan.

“Alhamdulillah, mereka semakin baik dan tiada gejala teruk dalam tempoh seminggu disahkan positif. Jadi kurang sikit rasa risau mengenang mereka yang berada jauh di kampung.

“Sebaik dimaklumkan mengenai keadaan mereka selepas Konsert Nafas Cinta tempoh hari, memang serba tak kena. Tidur pun jadi tak lena.

“Setakat ini semuanya sedang kuarantin di rumah, malah kami juga makin kerap mengadakan panggilan video untuk berbual dan kongsi perkembangan.

Terharu dengan sokongan rakan sekampung di Perlis, dedah Khai beberapa teman rapat yang banyak membantu melancarkan urusan ahli keluarganya sepanjang tempoh ini.

Selain ibu penyanyi Luluh itu, lapan lagi anggota keluarga yang disahkan positif Covid-19 adalah kakak, adik, adik ipar serta lima anak saudaranya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI