fbpx
NABILA yang dijangkiti Covid-19 kali kedua baru-baru ini bersyukur kerana diberi kesembuhan seperti sediakala.

Nabila Razali baiki diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR awal tahun lalu, nama penyanyi, juga pelakon popular Nabila Razali tiba-tiba meledak.

Semuanya dek nyanyian ‘terkucilnya’ ketika beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) mendendangkan lagu Peluang Kedua.

Sebelum AJL35, Nabila atau mesra disapa Bella sebenarnya sudah bertubi-tubi dikecam dan dilabel netizen sebagai tidak boleh menyanyi secara langsung.

Memburukkan keadaan, Bella memilih untuk tidak menyanyikan sendiri lagu Peluang Kedua semasa peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 atas faktor kesihatan selepas mengalami masalah pita suara.

Tempatnya digantikan oleh penyanyi, Hael Husaini.

WALAU dihentam bertubi-tubi dengan kecaman yang mengutuk kemampuan bakat nyanyiannya, Bella bagaimanapun mampu melawan hinaan yang datang.

Dihentam dan dicerca dengan pelbagai tohmahan, Bella tetap bersemangat untuk terus kekal dalam industri seni muzik tanah air.

Dia yakin dengan kemampuan dan tidak sesekali mengalah. Kelemahan yang ada dibaiki sedikit demi sedikit untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa dia juga layak bergelar penyanyi.

Pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd. Razali, 30, itu yakin, kekurangan yang ada bukan penyebab untuk berhenti daripada terus mengejar impian.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Saya tahu kekurangan saya dalam nyanyian. Jadi saya perlu ada usaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada.

“Saya sudah puas dikecam sehingga menangis. Namun saya ambil inisiatif untuk pergi menimba ilmu (kelas vokal) untuk menjadi lebih baik,” katanya.

SENTIASA mahu memberikan yang terbaik, Bella tidak berputus asa dan bangkit membaiki kelemahan dirinya.

Ujar pelakon Kebaya Kasut Kanvas itu lagi, semangat mengikuti kelas vokal bukan semata-mata untuk memperbaiki teknik nyanyian, tetapi mahu menambah kualiti kerja.

“Saya mencari rezeki dalam bidang hiburan. Sebagai penghibur, saya mahu semua orang gembira menyaksikan persembahan saya.

“Bukan setakat terhibur, saya juga mahu penonton puas hati dengan nyanyian. Saya tidak mahu bersikap sambil lewa,” katanya.

Selain menghadiri kelas vokal, Bella juga menjadikan komen-komen netizen sebagai rujukan dan iktibar untuk memperbaiki diri.

Biarpun sakit hati membaca komen-komen netizen, namun terselit juga pengajaran untuk dia menjadi lebih baik.

“Saya baca walaupun tidak membalasnya. Apa yang baik saya jadikan iktibar. Saya jadikan komen semua orang sebagai pembakar semangat untuk perbaiki diri.

“Sebagai anak seni, saya tidak boleh sentiasa selesa dengan keadaan sedia ada,” kata Bella.

Dalam perkembangan lain, Bella juga baru sahaja sembuh daripada dijangkiti Covid-19 buat kali kedua pada awal minggu lalu.

Dia bersyukur, walaupun telah dua kali dijangkiti virus tersebut, masih ada kesempatan untuknya pulih seperti sediakala.

“Jangkitan kali kedua ini tidaklah seteruk seperti yang dialami semasa kali pertama dijangkiti pada April tahun lalu.

“Saya sudah pun menjaga prosedur operasi standard (SOP), namun masih juga dijangkiti,” katanya.

Bella sempat berpesan supaya orang ramai sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dengan mengamalkan kehidupan dalam norma baharu.

“Duduklah di rumah jika tiada keperluan penting untuk keluar. Kadang-kadang kita terlepas pandang dan itulah yang menjadi punca jangkitan,” katanya.

TRIVIA

  • Menjahit
    Bella mempunyai bakat dalam seni jahitan pakaian, terutama membuat baju kurung.
  • Bantal
    Penyanyi berwajah manis ini perlu tidur dengan bantal yang banyak di atas katil.
  • Gula-gula getah
    Bella mempunyai tabiat suka mengunyah gula-gula getah terutama selepas makan.
  • Nasyid
    Sebelum bergelar artis popular, Bella pernah menyertai sebuah kumpulan nasyid.
  • Solekan
    Bella mengakui tidak pandai bersolek sendiri.

POPULAR