fbpx
NAFIEZ ZAIDI

Babak dibantai Ogy, Nafiez Zaidi tular ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Perumpamaan tersebut barangkali sesuai digambarkan buat naratif kerjaya pemilik nama lengkap Abdul Nafis Abduzaidi atau nama pentasnya, Nafiez Zaidi.

Lapan tahun berkelana dalam dunia lakonan, namanya mungkin juga sedikit asing di bibir peminat, namun sejak akhir-akhir ini menjadi sebutan disebabkan watak orang kelainan upaya (OKU) dalam drama rantaian, Bunga Hati yang baru sahaja melabuhkan tirai 10 Februari lalu.

Memainkan karakter mencabar bernama Luqman, Nafiez, 30, melahirkan rasa bertuah dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat tanah air terutama Fauziah Ahmad Daud. Katanya, biarpun ‘didera’, itu merupakan pengalaman paling bernilai setakat ini sebagai seorang aktor.

Penghormatan

“Berlakon dengan Kak Ogy merupakan satu cabaran dan penghormatan buat saya. Pertama kali bekerja dengan dia, pada mulanya saya sebenarnya agak takut. Maklumlah, pengalaman lakonannya sangat luar biasa.

“Selalu dengar tentang dia (Kak Ogy) tapi tak pernah benar-benar rasa bagaimana kerja dengan dia. Lepas dah kerja, baru tahu dia bagaimana.

“Nasib saya kena ‘bantai’ dengan dia. Bukan pukul main-main sebab itu bukan cara kerja pelakon hebat itu. Pun begitu, jujurnya saya tak sangka Kak Ogy akan ‘pergi’ jauh seperti yang ditonjolkan dalam drama,” katanya kepada HibGlam.

KATA Nafiez, adegan drama Bunga Hati yang dijayakan olehnya menerusi watak Luqman dan Kak Ogy (Salimah) tular sampai ke luar negara sehingga ada yang tidak percaya apa yang dipertontonkan sekadar lakonan.

Ujar pelakon kelahiran Kangar, Perlis itu lagi, biarpun ‘menderita’ dari segi mental mahupun fizikal membawakan karakter Luqman, dirinya percaya bahawa pendekatan atau metode lakonan yang digunakan Kak Ogy adalah demi kebaikannya.

“Mula-mula ketika masuk set, saya terkejut. Bukan saya seorang tetapi semua kru terkejut. Gedebak gedebuk saya ditampar dan semua itu benda betul, tiada curi ‘shot’ dan sebagainya.

“Dia bantai saya dan saya anggap perkara tersebut sangat memberikan kesan yang sangat positif terhadap lakonan. Sesetengah pelakon kalau adegan sebegitu, hanya ‘pukul angin’, namun tidak buat Kak Ogy.

“Tetapi dia buat begitu ada tekniknya dan tidak memberi kecederaan fizikal terhadap saya pun. Saya memang hormat Kak Ogy dan berasa sangat berbangga akhirnya dapat berlakon dengan pelakon hebat sepertinya,” katanya.

Tular di Indonesia

Nafiez turut berkongsi, disebabkan kerjasama perdana antara dirinya dengan Kak Ogy, namanya turut tular di luar negara kerana penonton ‘tak sampai hati’ melihat dirinya diperlakukan sebegitu.

Katanya, babak ‘ganas’ tersebut tular dalam media sosial seperti Instagram dan TikTok sehingga ada yang tidak menyangka semuanya hanyalah drama semata-mata.

“Ramai yang kecam melulu kenapa sampai begitu sekali berlakon. Ada juga kenalan terdekat yang tanya keadaan saya okey atau tidak selepas adegan drama berkenaan tular dalam media sosial.

“Paling kelakar, ada orang Indonesia dan Rusia kecam kerana menyangka apa yang ditonjolkan itu adalah kejadian sebenar. Mereka kasihan saya kena bantai. Tetapi hakikatnya, saya melihat semua itu dari sudut positif bahawa saya dah berjaya bawakan watak dengan baik hasil didikan Kak Ogy,” katanya.

PELUANG bekerjasama dengan Kak Ogy dalam drama Bunga Hati digunakan sehabis baik dan akhirnya memberikan hasil lumayan apabila mendapat pujian orang ramai.

Menyifatkan peranan memegang watak Luqman merupakan kerja paling berat sepanjang lapan tahun bergelar pelakon, Nafiez bagaimanapun masih dahagakan watak-watak lain yang mencabar kredibilitinya dalam lakonan.

“Saya nak bawa watak psiko. Belum dapat lagi dan itulah yang paling saya tunggu selepas berjawa menawan karakter seorang OKU dengan agak baik sehingga menerima reaksi positif penonton,” ujarnya.

‘Kami memang bercinta’

Dalam pada itu, diajak berbicara tentang keseriusan hubungan cinta antara dirinya dengan pelakon muda jelita, Fify Azmi, tanpa berselindung, Nafiez memaklumkan mereka memang benar-benar sedang dilamun cinta.

“Saya mula kenal Fify dan rapat sejak setahun lalu ketika kami sama-sama terlibat dalam penggambaran filem Ada Hantu 2. Saya tak malu mengaku, kami memang bercinta.

“Kalau nak cerita lebih jauh, saya dan Fify rapat bukan sebab gandingan dalam filem terbabit. Dalam filem tersebut, kami tak bawa watak pasangan bercinta pun.

“Pun begitu, disebabkan Ada Hantu 2, kami mula kenal hati budi masing-masing di luar set penggambaran. Bermula dari situ, bibit-bibit cinta berputik, burung-burung berkicauan dan angin mula bertiup tapi tak rasa (seloroh),” ceritanya.

NAFIEZ berharap hubungan dengan Fify berkekalan sehingga ke jenjang pelamin.

Mengulas lanjut, pelakon itu memaklumkan ketika awal perkenalan, dirinya tak pernah menyangka akan terpaut dengan Fify, namun lama-kelamaan hubungan sebagai kawan bertukar menjadi serius.

“Sejujurnya, masa mula-mula tengok Fify saya rasa macam biasa sahaja. Tiada rasa nak tackle tetapi lama-lama, chemistry itu datang dengan sendirinya.

“Dia pergi keluar makan dan saya perasan, ada sesuatu ibarat magnet yang menarik saya untuk lebih mengenali Fify dengan lebih mendalam. Dia tidak seperti apa yang digambarkan dalam media sosial ataupun dari kaca mata netizen.

“Orangnya lembut, baik hati, manja dan merendah diri. Itu antara kualiti dirinya yang membuatkan hati saya tertarik,” katanya sambil berharap hubungan mereka akan ke jenjang pelamin dan seterusnya berkekalan sampai bila-bila.

“Kalau ada jodoh, mengapa tidak? Lagipun, kita bukannya makin muda. Untuk bergerak ke arah perkahwinan, insya-Allah tapi sekarang beri ruang untuk kami masing-masing mempersiap diri dan memperteguh hal kerjaya.

“Sejujurnya, saya dah bawa Fify jumpa orang tua. Itu tandanya, hubungan ini memang serius dan bukan main-main. Doakanlah yang baik-baik buat kami,” kata Nafiez seraya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN