fbpx
Tinjauan peniaga dan tukang jahit baju melayu di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.-Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

Upah jahit baju raya cecah RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Umat Islam di negara ini yang merancang untuk bergaya dengan baju Melayu dan baju kurung baharu pada Hari Raya Aidilfitri nanti perlu berbelanja lebih apabila kos upah yang dikenakan oleh tukang jahit untuk menyiapkan sepasang pakaian itu kini mencecah RM200.

Kenaikan kos upah sekitar RM15 hingga RM30 itu dikesan berlaku sejak awal tahun ini apabila orang ramai mula membuat persediaan dengan menempah pelbagai jenis baju Melayu dan baju kurung.

Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata tukang jahit dan kedai pakaian memberi alasan mereka perlu menanggung kos-kos operasi sebagai punca bayaran upah perlu dinaikkan.

Di Kuala Lumpur, seorang pelanggan, Asma Khairunnisa Jasman, 25, mengakui, kos tempahan baju raya tahun ini agak mahal berbanding harga yang dikenakan bagi reka bentuk yang sama pada tahun lepas.

Katanya, setiap tahun dia akan menempah baju raya ke­rana lebih yakin dengan cita rasa sendiri berbanding membeli baju kurung yang telah siap dijahit.

“Untuk tahun ini, harga upah yang dikenakan oleh tukang jahit bagi baju kurung moden adalah lebih tinggi iaitu RM130 sepasang.

“Kos upah itu jauh berbeza kerana tahun lepas, saya menggunakan perkhidmatan tukang jahit yang sama, tetapi harganya lebih murah iaitu RM100 sahaja.

“Apabila ditanya, mereka memberi alasan kerana kos sara hidup semakin tinggi serta kos perkhidmatan untuk servis sebuah mesin jahit juga me­ningkat menjadikan mereka perlu menaikan upah jahit,” katanya.

Bagi Noor Izani Suzana Ishak, 25, pula, dia terpaksa menempah baju raya kerana telah membeli kain untuk warna yang sedondon dengan ahli keluarganya.

“Mengenai harga upah, memang terasa agak mahal. Kali terakhir saya tempah baju di kedai adalah pada tahun 2019 dan harga ketika itu adalah sekitar RM130 hingga RM170 sahaja, tetapi kali ini, saya perlu membayar upah sebanyak RM200 untuk sepasang baju Melayu berserta butang.

“Kami tidak mempunyai pilihan dan terpaksa akur dengan harga berkenaan kerana kebanyakan tukang jahit telah menutup tempahan baju raya ekoran permintaan tinggi daripada pe­langgan,” katanya.

Di Terengganu, rata-rata pe­langgan yang membuat tempahan baju raya di negeri itu terkejut apabila mendapati upah jahit bagi pakaian itu telah dinaikkan.

Fatin Norliyana Zainoden, 30, berkata, kos upah jahitan telah meningkat sekali ganda iaitu antara RM100 hingga RM120 bagi sepasang baju kurung biasa.

Katanya, harga itu jauh lebih tinggi berbanding sekitar RM50 sehingga RM70 yang dikenakan dua tahun lalu, iaitu sebelum penularan Covid-19.

“Tukang jahit memberi alasan kenaikan itu disebabkan harga barang lain juga sudah naik selain faktor kain dan benang berkualiti yang digunakan serta kos upah pekerja.

“Upah menjahit sepasang baju kurung Kedah pula mencecah RM130,” jelasnya.

Fatin Norliyana berkata, dia akan mencari alternatif lain iaitu membeli baju kurung siap di pasar raya yang jauh lebih murah.

Pekerja swasta, Nur Qhairunisha Nor Aziz, 29, pula berkata, dia dikenakan bayaran RM250 bagi upah jahitan sepasang baju kurung moden lengkap dengan hiasan sulam dan manik (lace).

“Saya sangat terkejut dengan harga yang diberikan dan mampu menempah sepasang baju raya sahaja,” katanya.

Di Pulau Pinang, seorang pe­langgan, Nurhasyima Che Hassan, 40, berkata, terdapat kenaikan harga bagi kos upah baju kurung yang ditempah.

Katanya, harga baju kurung termasuk upah yang dikenakan tukang jahit adalah sebanyak RM200.

“Sebelum ini, harga yang dikenakan tidaklah setinggi itu, namun saya teruskan juga tempahan kerana sudah biasa menggunakan perkhidmatan tukang jahit yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN