SHAH ALAM – Jumlah wanita yang dikategorikan sebagai ibu tunggal di negara ini mencatat peningkatan mencecah hampir 1 juta orang berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kini terdapat seramai 910,091 ibu tunggal di negara ini iaitu bersamaan dengan 8.3 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia.
Katanya, angka itu meningkat ketara berbanding jumlah keseluruhan ibu tunggal yang direkodkan pada tahun 2010.
“Berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, jumlah ibu tunggal di negara ini adalah seramai 910,091 orang atau bersamaan 8.3 peratus jumlah keseluruhan penduduk,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Dapatan Awalan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) di Dewan Canselor Management Science Univeristy di sini semalam.
Untuk rekod, statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mendapati bilangan penduduk wanita di Malaysia adalah seramai 13.9 juta dengan 235,240 daripadanya adalah ibu tunggal.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, terdapat tiga definisi bagi ibu tunggal di negara ini iaitu yang pertama adalah, ibu yang telah diceraikan secara hidup atau mati dan masih menanggung anak.
Definisi kedua adalah seorang isteri yang menjadi ketua keluarga mencari nafkah, serta menanggung suami yang tidak berupaya untuk bekerja disebabkan sakit dan mempunyai anak masih dalam tanggungan, manakala definisi ketiga ialah wanita yang mempunyai anak angkat.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat di samping dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).
Beliau berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan dapatan bancian tahun 2020 walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kali ini kita mendapat sokongan kuat daripada kerajaan-kerajaan negeri termasuklah pihak berkuasa tempatan dan 43,000 warga Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah terlibat untuk mengumpul data ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis yang sama memberitahu, penduduk Malaysia kini berjumlah 32.4 juta orang dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Daripada jumlah itu, 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara, manakala 2.7 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara.
“Bancian juga mendapati 52.3 peratus penduduk di negara ini ialah lelaki manakala 47.7 peratus perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita,” katanya.
Ismail Sabri berkata, penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki.
“Bagi statistik mengikut etnik, penduduk bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan Lain-lain (0.7 peratus).
“Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun),” ujarnya.
















