fbpx
RASHIDI ISHAK

Rashidi Ishak hidup dalam paranoid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pengalaman menjadi pesakit Covid-19 selepas dijangkiti wabak maut berkenaan pada Disember tahun lalu benar-benar mengubah kehidupan pelakon Rashidi Ishak.

Akui Rashidi, 48, dia mengakui berasa trauma dengan apa yang berlaku terhadap dirinya kerana ketika itu, keadaan kesihatannya agak teruk.

Trauma yang dialaminya membuatkan dia berubah menjadi seorang yang memiliki personaliti Obsessif Kompulsif atau Obsessive compulsive disorder (OCD) Covid-19.

“Sekarang saya jadi lebih OCD. Cecair pembasmi kuman sentiasa ada dibawa bersama, tak habis-habis nak bersihkan tangan.

“Kesan kejadian tempoh hari juga buatkan saya tak bergaul dengan sesiapa semasa penggambaran. Selepas tamat babak, saya masuk kereta dan jauhkan diri daripada orang.

“Sekarang pun saya tak keluar berjumpa orang. Selepas kerja, terus balik ke rumah. Perancangan bercuti pun langsung tak ada untuk tahun ini memandangkan kes harian juga semakin meningkat,” kongsinya.

Dia berkata demikian ketika ditemu bual secara maya sempena mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Tetuan Ang & Rahimin bersama Ben Amir dan Daiyan Trisha semalam.

Rashidi disahkan positif pada 7 Disember tahun lalu ketika penggambaran Tetuan Ang & Rahimin berlangsung iaitu tiga hari selepas Daiyan terlebih dahulu disahkan positif pada 4 Disember.

Menerusi perkongsian dalam Instagramnya, dia memaklumkan bahawa keadaan dirinya ketika itu sangat teruk kerana mengalami banyak simptom seperti demam, batuk, cirit-birit dan muntah pada hari keempat kuarantin.

Seluruh badannya juga berasa lembik dan sakit sehingga tiada tenaga selain otot-ototnya berdenyut.

Kini selepas lebih dua bulan pulih, pelakon itu berkongsi keadaan kesihatannya pasca dijangkiti Covid-19.

“Selepas sembuh, saya mudah berasa letih. Untuk drama Tetuan Ang & Rahimin, ada jayakan babak di dalam mahkamah yang ambil masa panjang berjam-jam lamanya.

“Selepas empat hingga lima jam, saya terus rasa tak larat. Malah ton suara saya juga jadi berbeza, tambahan pula pada ketika itu saya belum pulih sepenuhnya,” ujar Rashidi.

Selain Rashidi dan Daiyan, ramai lagi selebriti tempatan menjadi mangsa jangkitan Covid-19 antaranya Intan Ladyana, Nabila Razali, Ariff Bahran dan Afdlin Shauki. – K! ONLINE

POPULAR