fbpx
QASRINA KARIM

Qasrina Karim klon Mira Filzah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIA disambar menjadi pelakon selepas lebih lima tahun bergelumang dalam dunia peragaan. Kedengaran seperti sebuah transisi perjalanan yang mudah tetapi hakikatnya berbeza.

Tidak menafikan situasi tersebut berlaku dalam rutin hidupnya ketika ini, Qasrina Karim mengakui kehidupan sebagai selebriti lebih memenatkan berbanding dunia peragaan.

Pahit atau manis, itulah jalan dipilih dan perlu dilalui Qasrina hari ini.

Mengakui sedang membiasakan diri dengan kehidupan sebagai seorang pelakon, pucuk muda yang mesra disapa sebagai Qas itu tidak pernah sekali pun menyesal memilih bidang seni dalam kamus hidupnya.

Menyusun bicara dengan penuh santun, Qas berkongsi rasa dengan HibGlam bahawa berbeza lakonan dan peragaan Muslimah terlalu jauh jurang perbezaan.

FILEM Kongsi Raya memberi cabaran buat Qasrina Karim kerana perlu bertutur dalam bahasa Mandarin untuk beberapa adegan.

Syarat sebagai pelakon

“Kerjaya model dengan pelakon memang berbeza. Kalau model, penatnya hanya di depan kamera, sementara jadi pelakon pula ambil masa berhari-hari, berminggu-minggu atau berbulan untuk menghabiskan sesebuah projek.

“Jadi pelakon, lebih banyak usaha dan tenaga diberikan. Hafal skrip dan kerja dengan produksi. Perbezaan memang terasa tetapi berbaloi apabila melihat hasil kerja,” katanya membuka bicara.

Lucunya, anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu memberitahu suasana dunia glamor benar-benar dirasai, terutama selepas buat kali pertama bertemu pihak media sewaktu sidang akhbar filem sulung lakonannya, Kongsi Raya arahan Teddy Chin baru-baru ini.

“Awalnya tak terfikir langsung tentang dunia glamor tetapi selepas sidang akhbar Kongsi Raya baru-baru ini, barulah perasaan tersebut muncul, lebih-lebih lagi selepas melalui proses temu ramah dengan ramai pengamal media.

“Bagaimanapun, itu bukan bermakna saya menyesal dengan jalan yang dipilih cuma tidak mahu terlalu padatkan jadual dengan kerja semata-mata.

“Sekurang-kurangnya ada sedikit masa untuk diri sendiri. Saya percaya setiap kerjaya mempunyai jalan cerita dan kepayahan sendiri,” tuturnya lemah-lembut.

Menjadi seorang pelakon dengan imej berhijab membuat Qas muncul dengan syaratnya sendiri iaitu enggan terlibat dengan adegan bersentuhan dengan pelakon lelaki.

“Ya, saya letak syarat dan satu daripadanya, tiada sentuhan kulit dengan pelakon lelaki.

“Saya bersyukur kerana Teddy memahami permintaan tersebut namun ada juga sesetengah adegan meminta untuk sentuhan tetapi dengan cara berlapik atau teknik kamera,” ujarnya.

SELAIN Mira Filzah, wajah Qasrina turut dikatakan mirip dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Rimas atau bosan

Disuakan persoalan yang baru-baru ini mensensasikan namanya, si manis berusia 24 tahun itu hanya tertawa kecil. Dia cukup maklum saat penulis mula mengaju soalan mengenai wajahnya yang dikatakan mirip Mira Filzah.

Meski begitu, tidak pernah terdetik bahkan sekali pun dia tidak berasa rimas dek sering dikaitkan dengan pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu.

“Memang ramai cakap begitu tetapi sejujurnya, kami tidaklah sama pun. Apa pun, saya tidak pernah rasa benci apabila sering dikaitkan dengan Mira sebab dia seorang selebriti yang mempunyai imej positif.

“Saya pun enggan ambil pusing sangat perkara tersebut dan berharap dapat mengikut jejak langkah selebiti yang berjaya dalam industri.

“Namun, itu tidak bermakna saya hendak menumpang populariti mereka. Seboleh-bolehnya, saya hendak berdiri atas bakat sendiri dan enggan menjadikan isu paras rupa sebagai batu loncatan untuk meraih perhatian,” tambahnya.

QASRINA mahu tetap dengan pendirian mengelak daripada bersentuhan dengan pelakon lelaki yang menjadi pasangandalam mana-mana naskhah lakonan.

Sedar masih hijau sebagai selebriti, Qas menolak untuk menjadi seorang pelakon yang cerewet dalam menerima sebarang tawaran lakonan pada masa akan datang.

“Buat masa sekarang saya terima apa sahaja watak dan tak mahu terlalu memilih. Kalau boleh hendak mencuba pelbagai karakter dan menjadi pelakon versatil.

“Tambahan pula saya masih orang baharu jadi tak mahu cerewet untuk menerima mana-mana tawaran,” katanya yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem selain Kongsi Raya.

Tidak terlepas daripada dilempar kecaman, Qas mengakui sangat berhati-hati berkongsi setiap perkara dalam media sosialnya.

“Menjadi individu yang dikenali memang tidak terlepas daripada dihujani dengan kritikan, begitu juga saya. Saya terbuka menerima sebarang kritikan yang diberikan dan memandangnya sebagai satu peluang untuk memperbaiki diri sendiri,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN