fbpx
Tangkap layar video tular sebuah lori membawa muatan kereta peronda polis secara berbahaya baru-baru ini. /FOTO MEDIA SOSIAL

Pemandu lori bawa kereta peronda polis lebih muatan disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – Tindakan seorang pemandu lori membawa muatan kereta peronda polis secara berbahaya mengundang padah apabila dia dikenakan saman atas kesalahan tersebut.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 32 tahun itu disaman mengikut Peraturan 18 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu membawa muatan hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Kita telah mengesan satu video tular di media sosial pada 5 Februari lalu yang memaparkan sebuah lori membawa muatan kereta peronda polis secara berbahaya.

“Ekoran penularan video itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah membuka kertas siasatan dengan memanggil pemandu lori tersebut untuk dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, lapan buah kereta peronda polis yang dibawa lori itu adalah hasil jualan lelong aset alih kerajaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Katanya, kesemua kenderaan itu sebelum ini dikumpulkan di kawasan industri di Seremban sebelum dibawa dengan menggunakan lori tersebut ke Ipoh.

“Siasatan kes tersebut telah selesai dan saman dikeluarkan terhadap pemandu lori itu Jumaat lalu. Berdasarkan semakan, pemandu lori itu juga mempunyai enam saman lampau atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

POPULAR