MELAKA – Bekalan ayam di negeri ini kembali stabil semalam selepas kerajaan mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 60 sen sekilogram bagi ayam segar pada Rabu lalu.
Tinjauan Kosmo! Ahad di Pasar Awam Melaka, Bachang mendapati, kesemua 18 peniaga ayam mengakui mendapat bekalan ayam mencukupi daripada pemborong masing-masing.
Seorang peniaga, Jamil Jani, 58, memberitahu, dia tidak lagi menyorokkan bekalan ayam di bawah meja niaga kerana menerima kuantiti mencukupi daripada pemborong.
“Alhamdulillah bekalan kembali stabil, minggu lalu pukul 10 pagi dah licin, jadi saya terpaksa hadkan jualan ayam kepada pelanggan biasa kerana bekalan diterima memang sikit.

“Saya dahulukan peniaga kedai makan kerana mereka ini ada kedai yang perlu dibuka dan pekerja untuk dibayar gajinya,” kata Jamil.
Berita berkaitan: Persatuan penternak jamin bekalan stabil
Sementara itu, Ghazali Abu Bakar, 48, meluahkan kekecewaan apabila terpaksa menanggung kerugian antara 20 sen hingga 40 sen sekilogram ayam bagi kos pengangkutan yang dikenakan pemborong.
“Sekarang bekalan memang ada, tetapi peladang tidak puas hati harga makin turun walaupun kerajaan telah berikan subsidi. Kami pula rugi kerana peladang masih kenakan kos pengangkutan.
“Itu yang jadi masalah, ayam sebenarnya ada tetapi penternak hadkan penjualan sedangkan mereka kenalah sama-sama tanggung kerugian,” katanya.
Pemborong ayam, Ke Jok Kwee, 60, pula menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar rintihan peniaga ayam dan bersetuju memberikan subsidi 60 sen.
“Hari ini saya minta peladang berikan jumlah yang cukup kerana Isnin ini (esok) pasar tutup, jadi pelanggan biasanya akan beli bekalan untuk kegunaan dua hari dan mereka bersetuju.
“Namun, saya tidak pasti pula dengan bekalan pada hari-hari yang seterusnya,” katanya.-K! ONLINE














