fbpx

Kolaborasi dengan Joe, macam mimpi! – Naim Daniel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIM sekali lagi menjalin kolaborasi dengan artis lain dalam lagu baharunya. Kali ini, dia memilih Joe Flizzow untuk menjayakan lagu Habis Sini.

PETALING JAYA – Penyanyi Naim Daniel menganggap kolaborasi bersama Joe Flizzow untuk single terbaharu berjudul Habis Sini umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

Katanya, lebih membuatkan perasaannya terharu dan besar hati bercampur baur apabila ikon rap tersohor tempatan itu juga tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan masuk studio dengannya.

“Segala perancangan merealisasikan Habis Sini bagai dipermudahkan walaupun pada asalnya lagu ini saya lama peram disebabkan ketika itu kita masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selepas sudah sedia merakamkannya, saya memikirkan cara untuk menambah perisa bagi menjadikan dendangan ini nanti tampil dengan aroma istimewa.

“Jadi tercetuslah idea untuk mengundang Joe yang sememangnya punya aura tersendiri tambahan pula Habis Sini turut mempunyai suntikan muzik rap.

“Berdebar juga menunggu maklum balas daripada pihaknya, namun antara teruja dan terharu saya rasai ketika itu apatah lagi tak perlu tunggu lama jawapan ya daripada Joe. Macam mimpi,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, penyanyi berusia 24 tahun itu pernah bekerjasama dengan pemain gitar legenda, Man Kidal bagi lagu Sembah yang meraih sambutan positif pendengar.

Sekali lagi ingin bereksperimentasi menerusi kolaborasi bersama figura muzik dihormati, katanya Joe yang turut meraih perhatian bintang rap dunia, Snoop Dogg adalah calon impiannya untuk naskah baharu tersebut.

“Apabila idea ini saya suarakan kepada syarikat pengurusan WP Entertainment, mereka terus menghubungi Def Jam Recordings Malaysia selaku pihak pengurusan Joe.

“Malah pertama kali bekerja dengannya juga satu pengalaman istimewa selain sedia memberi penambahbaikan bagi menjadikan lagu itu lebih bagus.

“Bagi saya Joe sangat terbuka selain bukan seorang penghibur yang cerewet biarpun sudah bertaraf bintang sekali gu membuatkan proses rakaman berjalan lancar.

“Tidak dinafikan auranya lain macam sepanjang dalam di studio sekali gus menjadikan Habis Sini tampil istimewa. Pengalaman ini nyata sangat berharga,” katanya yang mendapatkan khidmat SonaOne sebagai penerbit.

Kongsi Naim lagi, proses rakaman karya berkenaan akhirnya dapat disempurnakan pada Ramadan tahun lalu yang hanya membabitkan satu sesi sahaja.

Habis Sini mengisahkan realiti kehidupan manusia yang bertemu dengan manusia yang menyebarkan aib orang lain, sedangkan dirinya sendiri masih penuh cela.

Lagu berkenaan dilancarkan sejak 2 Februari lalu dalam semua platform penstriman iaitu Spotify, Apple Music, YouTube dan Joox, manakala muzik video pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube World Peace Entertainment. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI