fbpx
Gambar hiasan.

170,000 penuntut UiTM ke kampus mulai 27 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 170,000 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijadualkan kembali ke kampus universiti itu mulai 27 Mac depan.

Kemasukan sesi pengajian semester II 2021/2022 itu akan bermula di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu, manakala 28 Mac bagi negeri lain.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, pihaknya menerusi Majlis Eksekutif Universiti  meluluskan pelaksanaan kemasukan semula pelajar itu secara berperingkat pada bulan depan.

Katanya, keputusan membabitkan sesi pengajian Mac hingga Ogos depan itu berdasarkan Pelan Tindakan Perkuliahan Open and Distance Learning (ODL) 5.0.

“Pengajaran dan pembelajaran akan terus dilaksanakan secara hibrid manakala pelajar berkeperluan diutamakan untuk ke hadir ke kampus.

“Ia mengikut kategori pelajar dan kesesuaian kapasiti semua ruang persekitaran kampus termasuk kolej,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Roziah, semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melibatkan pelajar di kampus akan sentiasa dipantau bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Aspek keselamatan dan kesihatan menjadi keutamaan UiTM dalam memastikan proses kemasukan dan keberadaan pelajar dirancang dengan teliti.

“Justeru, kita akan mengeluarkan pekeliling rasmi mengenai tatacara dan jadual kemasukan bagi Pelan Tindakan Perkuliahan ODL 5.0 dalam tempoh terdekat,” katanya. -K!ONLINE

POPULAR