SPEKTAKULAR. Cukup satu perkataan sahaja tetapi berisi makna yang sangat hebat. Demikian gambaran yang boleh diberikan untuk siri original terbitan Netflix Korea Selatan, All Of Us Are Dead.
Tidak dinafikan, sejak siri Squid Game mencipta fenomena pada tahun lalu, pencinta naskhah dari Korea Selatan sentiasa menunggu kehadiran lebih banyak karya berkualiti sebegitu.
Maka tidak hairanlah andai perkara tersebut dilihat menjadi antara faktor penentu All of Us Are Dead kini dilambung fenomena dunia.
Sejak menemui peminat bermula 28 Januari lalu, siri berkenaan ternyata mampu memukau khalayak dalam sekelip mata apabila menduduki tangga pertama dalam Netflix.
Puncanya hanya satu perkara, jalan cerita memaparkan kisah serangan zombi. Agak klise, namun hakikat, genre sebegitu sememangnya sangat disukai penonton, apatah lagi sejak subjek tersebut mula mencipta fenomena dalam industri Korea Selatan menerusi filem Train To Busan (2016).
Tambahan pula, All Of Us Are Dead bukan sekadar zombi.
All Of Us Are Dead yang sarat mesej sosial dibintangi ramai wajah dan pesona pelakon muda membuka tirai awal tahun baharu 2022 dengan cemerlang.
Naskhah arahan oleh Lee Jae-kyoo dan Kim Nam-su tersebut dibarisi pucuk muda seperti Park Ji-hoo, Yoon Chan-young, Park Solomon, Cho Yi-hyun, Lee Yoo-mi, Yoo In-soo dan ramai lagi.
Siri berkenaan yang diadaptasi daripada webtoon berjudul Now At Our School menyorot kisah yang berlaku kepada sekumpulan pelajar sekolah menengah apabila cuba meneruskan kehidupan selepas berlakunya serangan zombi.
Mereka meneruskan hidup dengan pelbagai cara antaranya menggunakan senjata selain pada masa sama terpaksa melalui kesukaran apabila kehilangan rakan dan keluarga tersayang.

Tekanan, babak sedih
Bagi Chan-young, menjayakan watak Lee Cheong-san menjadikan dia seorang yang banyak berkorban demi orang lain biarpun terpaksa mengorbankan diri sendiri.
Disebabkan wataknya sarat dengan aksi, pelakon itu mendedahkan dia membuat persiapan yang sangat rapi sebelum penggambaran siri tersebut bermula.
“Babak saya sangat banyak melibatkan aksi dan emosi. Jadi saya perlu asingkan kedua-duanya. Untuk persiapan fizikal, saya bersenam dan menyertai sekolah aksi.
“Demi mendapatkan badan yang cergas dan dapat melawan rasa sejuk pula, saya berjoging di sebuah tasik di Ilsan.
“Stamina perlu dikekalkan supaya saya dapat mengejar dan dikejar ketika penggambaran,” ujarnya yang turut menyertai latihan mempertahankan diri.
Lain kisahnya dengan Yi-hyun yang menjadi ketua kelas (Choi Nam-ra) tetapi bersikap sangat dingin terhadap rakan-rakannya dan gemar menyendiri.
“Karakter saya dalam School 2021 dan Hospital Playlist lebih ceria, tetapi ketika membawakan watak yang sangat berbeza dalam siri ini, saya memerlukan kekuatan.
“Mujurlah rakan-rakan pelakon sangat memahami dan membantu. Jadi pengalaman yang saya lalui sangat seronok, bukannya susah,” kongsinya.

Kesuksesan global
Semua orang tahu tentang fakta produk dari Korea Selatan. Fesyen, drama, filem, pelancongan, budaya mahupun makanan sangat dikenali di seluruh dunia, apatah lagi jika berbicara tentang fenomena muzik dan artis K-pop.
All Of Us Are Dead misalnya menjadi bukti kecemerlangan produk dari negara kimchi itu sesuatu yang luar biasa apabila data FlixPatrol pada 29 Januari lalu menunjukkan siri berkenaan bukan hanya menduduki tangga nombor satu Netflix, bahkan memecahkan rekod K-drama yang lain.
Dalam data yang dikeluarkan, siri tersebut mengutip sebanyak 679 mata, sekali gus menjadi yang tertinggi dalam sejarah tayangan drama Korea menerusi platform Netflix.
Sehari kemudian iaitu pada 30 Januari lalu, rekod dicipta All Of Us Are Dead meroket apabila mencatat sebanyak 803 mata, sekali gus mengekalkan kedudukannya dalam senarai 10 terbaik untuk tayangan global.
Catatan tersebut membuatkan siri 12 episod itu menjadi produk kelima dari Korea Selatan yang menduduki tangga pertama global dalam Netflix selepas Alive, Space Sweepers, Squid Game dan Hellbound.
“Sukar dipercayai betapa banyak kasih sayang dan sokongan yang diterima dari seluruh dunia. Pencapaian ini sangat bermakna buat semua pelakon dan petugas penuh dedikasi sepanjang pembikinan siri ini.
“Tak dinafikan ada tekanan menjadi siri pertama yang mencatat rekod sebegitu pada awal 2022. Tapi saya harap audiens dapat melihat usaha keras yang diberikan produksi,” kata pengarahnya, Jae-kyoo.

Populariti meroket
Biarpun ketika ini sedang mencipta fenomena, realitinya All Of Us Are Dead hanya membariskan wajah-wajah muda dan ada di antara mereka merupakan pelakon yang tidak dikenali sebelum ini.
Populariti yang menyebelahi siri berkenaan ternyata membuka ruang buat semua pelakonnya menumpang tuah apabila mereka kini sedang menjadi sebutan peminat.
Antara yang paling menjadi perhatian adalah watak antagonis, si pembuli di sekolah bernama Yoon Gwi-nam lakonan mantap Yoo In-soo.
Sepanjang tayangan, peminat dapat merasai kebencian terhadap Gwi-nam kerana personaliti dan sikapnya yang ganas tanpa belas kasihan terhadap rakan sekolah, termasuklah pengetua mereka.
Ketika watak dan karakter lakonannya menjadi bualan, kehadiran aktor itu dalam dunia realiti juga disorot perhatian ramai apabila menyaksikan pengikut Instagramnya bertambah berkali ganda.
In-soo yang kini memiliki lebih sejuta pengikut sebelum ini pernah meminjamkan pesonanya untuk beberapa produk K-drama, antaranya Strong Woman Do Bong-soon, While You Were Sleeping dan ID: Gangnam Beauty.
Sama halnya dengan aktor muda Park Solomon. Namanya menjadi sebutan dan perhatian ramai. Buat peminat wanita, dia kini digelar ‘buah hati’ baharu seluruh dunia.
Aktor berusia 23 tahun berdarah kacukan Korea Selatan-Uzbekistan itu memegang watak pelajar sekolah yang berani dan bekas atlet iaitu Lee Su-hyeok.
Berketinggian 183 sentimeter, dengan ketinggian persis model dan pakej lengkap rupa paras kacak mudah membuatkan kehadirannya menyentap perhatian khalayak.
Sebelum dikenali, dia sebenarnya sudah memulakan debut dalam dunia lakonan sejak 2014 menerusi deretan naskhah antaranya Bride of The Century, 4 Legendary Witches, The Doctors dan juga The Guardians.















