PETALING JAYA – ‘Cinta monyet’ di alam persekolahan sering kali dikaitkan dengan pemberian surat cinta kepada pasangan dalam meluahkan perasaan yang terpendam.
Baru-baru ini, tular sepucuk surat cinta daripada murid darjah tiga yang mengandungi beberapa lukisan kurang sopan serta mencurigakan.
Menerusi perkongsian seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai @ammi.miazill_kaklong, dia meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan rakan sekolah anaknya selepas melihat isi surat cinta tersebut
Menurut pengguna tersebut, pada awalnya dia menyangkakan isi surat itu hanya sekadar ayat-ayat lucu seorang murid sekolah rendah, namun setelah dilihat, terdapat lukisan seakan-akan imej orang kencing berdiri di tandas serta tidur bersama di atas katil.
“Berderau rasa hati seorang ibu, lepas lihat lukisan yang tidak senonoh seperti ini dilukis oleh murid darjah tiga.
“Saya terus laporkan pada abi (ayah) dia tentang surat tersebut,” katanya.
Jelasnya, dia dan suami bertindak melaporkan kejadian yang berlaku kepada guru kelas anaknya untuk pemantauan lanjut serta meminta perkara tersebut dimaklumkan kepada ibu bapa murid lelaki itu.
Tambahnya, anaknya memang sudah dididik untuk menjaga batas-batas pergaulan di dengan rakan-rakan sejak kecil lagi.
“Saya memang didik anak setiap masa tentang batas pergaulan dari tadika lagi, dia memang akan maklumkan pada saya kalau ada perkara pelik yang berlaku padanya,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mengambil serius tentang perkara tersebut dan menganggap ibu bapa dan guru perlu memantau tindakan anak-anak murid di sekolah agar tidak bergurau melebihi batasan.
“Biar betul lukisan budak sekolah rendah macam ini, bahaya pemikiran mereka sekarang, sebab itu penting ibu bapa pantau kandungan video yang ditonton anak-anak,” kata Dewi Rosalina.
“Benda serius ini, harap dapat ambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak sekolah dan ibu bapa, jangan ingta budak kecil tidak tahu apa-apa yang bukan-bukan,” ujar Farry.
“Mungkin ibu bapa boleh asingkan anak yang sudah bersekolah untuk tidak tidur bersama satu bilik, bagi elak mereka lihat aksi mesra ibu bapa di katil,” kongsi Fatimah Aini. – K! ONLINE