PETALING JAYA – Pengguna di seluruh negara menyambut baik keputusan kerajaan yang memberikan subsidi ayam dan telur sebanyak RM528.52 juta kepada penternak dalam usaha menstabilkan harga selain meningkatkan pengeluaran bekalan kedua-dua bahan mentah itu.
Menurut mereka, pemberian subsidi sebanyak 60 sen bagi setiap kilogram ayam dan 5 sen bagi sebiji telur itu dianggap sudah memadai dalam memastikan harga pasaran kekal dan tidak mengalami kenaikan.
Di Shah Alam, Selangor, seorang suri rumah, Syahidatul Maryam Mohamed Zan, 30, mengakui kenaikan harga telur dan ayam sejak kebelakangan ini jelas menganggu perbelanjaan isi rumah memandangkan kedua-dua bahan mentah itu adalah keperluan wajib bagi keluarganya.
“Subsidi sudah diberi, jadi tiada alasan lagi untuk bermain harga. Rakyat sangat terbeban, jangan susahkan kami,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Mohd. Nazereen Ibrahim, 39, pula, dia berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya ada golongan penternak termasuk peniaga yang mengambil kesempatan selepas ini.
“Dalam keadaan rakyat terhimpit dengan kesan ekonomi disebabkan Covid-19, situasi seperti ini (kenaikan harga) tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang pengguna, Nor Aznida Alias, 42, berharap subsidi kerajaan itu mampu memberi kesan segera terhadap harga dan bekalan ayam serta telur ayam di pasaran.
“Pengguna bukan sahaja berdepan dengan beban kos yang tinggi, malah bekalan ayam dan telur ayam di pasaran juga sangat tidak menentu.
“Saya harap, harga dan bekalan bahan mentah itu kembali stabil selepas ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd. Zaki Mohamed, 63, berkata, subsidi tersebut menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat.
“Saya betul-betul berharap pemain industri baik pengusaha, pemborong dan peruncit tidak memberi alasan untuk menaikkan harga selepas ini,” katanya.
Di Sungai Petani, Kedah, seorang peniaga kek, Siti Asmah Nordin, 25, melahirkan rasa gembira dengan pemberian subsidi sebanyak 5 sen sebiji telur yang merupakan antara bahan utama dalam perniagaannya.
“Pengumuman kerajaan untuk memberi subsidi kepada penternak sememanganya melegakan saya sebagai peniaga.
“Saya harap tiada lagi isu kenaikan harga ayam dan telur kerana sukar untuk kami kekalkan harga jualan kek jika harga telur terus meningkat,” ujarnya.
Di Johor Bahru, Johor, suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 33, mahu golongan penternak dan peniaga membalas jasa kerajaan dengan memastikan harga telur dan ayam tidak dinaikkan lagi.
“Subsidi ini diberikan kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam, jadi kami pengguna berharap jangan naikkan harga sesuka hati.
“Kerajaan dah bantu mereka, sekarang mereka pula perlu bantu pengguna, bukan sekadar nak untung sahaja,” katanya.
Di Kuala Lumpur, penjawat awam, Norashikin Che Ram, 29, berkata, sebagai pengguna mereka mempunyai hak untuk mendapatkan harga bahan mentah dengan kadar yang berpatutan.
“Sebagai pengguna, sudah pasti mahukan harga barang yang berpatutan dan dalam kawalan terutamanya bahan mentah seperti ayam, telur ayam dan sayur,” tambahnya.















