fbpx
IBU kepada dua cahaya mata ini percaya kualiti dan mutu produk yang ditawarkan menjadi keutamaan dan kerelevanan sesebuah produk itu bertahan.

Bangkit semula selepas ditipu pembekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, pada masa kini semua orang boleh melakukan apa sahaja perniagaan walaupun tanpa modal.

Perniagaan yang dijalankan juga tidak melihat kepada faktor umur sama ada tua atau muda, asalkan cukup ada keinginan dan kesungguhan berniaga.

Tetapi, bukan itu yang perlu diambil kira, paling penting bagaimana untuk mengekalkan sesebuah perniagaan itu untuk terus bertahan bertahun lamanya.

Duri, onak dan ranjau pasti akan ada di hadapan dan terpaksa ditelan sama ada mahu ataupun tidak. 

Begitu juga yang dialami Intan Noratini Rahim beberapa tahun lalu saat pertama kali memberanikan diri memilih untuk menjalankan perniagaan sendiri. 

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, tidak sampai beberapa bulan berjinak-jinak dengan perniagaan suplemen kesihatan yang dicintai, timbul pula isu ditipu pembekal. 

“Benar, saya masih ingat saat pertama kali berniaga dah kena tipu dengan pembekal yang bertanggungjawab membekal bahan-bahan utama untuk produk suplemen saya. 

“Nak kata banyak sangat tu tidaklah, tetapi saya tetap mengalami kerugian mencecah RM40,000 saat awal-awal berniaga dulu. 

“Mungkin jumlah kerugian tidaklah terlalu banyak sampai mencecah jutaan ringgit, tetapi wang tersebut boleh saya gunakan untuk pelbagai perkara-perkara lain dalam perniagaan” katanya kepada Aura.

BARISAN staf dan ejen yang menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan Intan serta perniagaannya, Silky Rose.

Meneruskan perkongsian, ibu kepada dua cahaya mata  berusia 28 tahun itu memberitahu, enggan fikir lanjut dan terus meratap kesedihan dek ditipu, dia terus bangkit meneruskan impiannya bergelar usahawan. 

Kata Intan, dia menganggap perkara tersebut sebagai bukan rezeki buatnya dan tetap kuat bagi meneruskan legasi perniagaan yang diasaskan sejak empat tahun lalu itu. 

“Mungkin Tuhan memang nak uji saya pada waktu dan ketika itu. Walaupun terpaksa menempuhi dan mengalami kerugian pada awalnya, namun di penghujung Dia berikan sinar buat saya. 

“Selangkah demi selangkah yang saya jalani tak pernah ada rasa jemu apatah lagi mengalah untuk berniaga selain niat membantu orang lain yang turut memerlukan pendapatan.

“Hasilnya Tuhan permudahkan urusan dan perniagaan kesihatan serta kecantikan hingga berjaya saya kemudikan sampailah ke saat ini,” ujarnya.

INTAN NORATINI tekad untuk terus mempertahankan perniagaan yang dibangunkan empat tahun lalu meskipun pernah melalui pelbagai cabaran dan halangan.

Mengenai cabaran sepanjang mengemudikan perniagaan, Intan memberitahu, cabaran, rintangan dan halangan tetap akan ada walau sekecil mana pun.

Katanya, hendak atau tidak, cabaran yang mendatang terpaksa ditempuhi dirinya kerana apa jua yang dilakukan dalam hidup ini tidak akan pernah lari daripadanya. 

“Berniaga sewaktu pandemik pun kira satu cabaran buat saya dan peniaga-peniaga lain. Paling penting kita cari jalan bagaimana nak pastikan perniagaan yang diusahakan dapat terus bertahan. 

“Saya juga yakin bukan setakat harga mampu milik perlu diberikan kepada pelanggan, tetapi aspek kualiti turut menjadi faktor utama bagi memastikan pelanggan dan pengguna memilih produk yang kita tawarkan.

“Paling penting berniaga kena ikhlas dan bukan demi keuntungan semata-mata,” tuturnya yang memberitahu kesemua barisan produk yang dikeluarkan di bawah syarikatnya mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain halal, bersih dan selamat digunakan.

Dalam perkembangan lain, Intan memberitahu Silky Rose baru sahaja mengeluarkan dan memperkenalkan produk terbaharunya dikenali sebagai Sleeping Booster Ibu Kuning yang semakin mendapat perhatian dan tempat dalam kalangan pengguna walaupun baru berada di pasaran. – K! ONLINE

POPULAR