fbpx

Balqis mohon maaf daripada Mia, tak kacau hidup orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BALQIS dan Mia Sara.

PETALING JAYA – Seperti mahu mengakhiri krisis tiada didikan agama, pelakon Puteri Balqis membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram yang ditujukan khas buat rakan seperjuangan, Mia Sara.

Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish bagaimanapun memohon agar Mia, 17, tidak mengulangi insiden yang meremukkan hatinya terutama kerana melibatkan kehidupannya dan maruah ibu tersayang, Norashikin Mohd. Aziz.

Menurut pelakon Akulah Balqis itu, komen yang ditinggalkan Mia merupakan fitnah terbesar sedangkan dia dan ibunya tidak pernah mengganggu kehidupan orang lain.

“Ikhlas dari diri saya, saya mohon kemaafan daripada anda dan juga bapa anda, uncle Ridhuan dan tidak terkecuali, saya mohon maaf kepada semua peminat dan penyokong anda.

“Aqish dan ibu buat hal kami sendiri dan kami tak kacau orang. Jadi, saya sangat terkilan dengan komen dari anda kepada orang awam tentang saya yang mengatakan bahawa saya tidak dibesarkan dengan baik oleh keluarga.

“Itu adalah satu fitnah yang besar dan apabila anda cakap keluarga saya, satu-satunya keluarga saya adalah ibu saya.

“Saya akan cakap ini sekali sahaja, tolong jangan ulang semua perkara yang anda dan lakukan terhadap saya. Dan, saya berharap anda dan saya akan kembali meneruskan kehidupan masing-masing,” kata Balqis, 15, menerusi satu hantaran video dalam Instagram.

Balqis juga enggan mempedulikan apa orang ingin katakan tentang hubungannya dengan Tuhan.

“Saya tak tunjukkan rasa sayang saya kepada Tuhan melalui gambar tetapi saya tunjukkan rasa cinta saya kepada Tuhan saya melalui puisi dan saya tunjukan rasa taubat saya melalui penulisan.

“Dan, tidak semua orang sedar akan perkara tersebut,” ujarnya.

Menerusi video sama, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2014 itu turut mengucapkan terima kasih kepada khalayak yang tidak henti-henti memberikan sokongan biarpun dirinya berdepan kecaman ramai atas apa yang berlaku.

“Dan, untuk semua para penyokong, apa yang boleh saya cakap, anda sangat baik dan tidak bising serta telah beri saya banyak rasa cinta,” katanya.

Sebelum menggulung video berkenaan, Balqis meninggalkan pesanan buat orang ramai: “Dan, ini daripada saya untuk anda semua, biar orang hakimi anda, biarkan orang memberi tanggapan salah tentang anda, tiada apa untuk dibuktikan dan teruskanlah buat perkara baik.”

Terdahulu, Mia menerusi untaian komen TikTok menyentuh tentang kehidupan Balqis yang disifatkan sebagai kurang didikan gaya hidup Islamik sejak kecil namun mempertahankan, perihal tersebut bukan kesalahan berpunca daripada dirinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI