fbpx
MALONEY (dua dari kanan) berjaya mendapatkan empat pemain berpengaruh untuk di­serapkan ke dalam skuad B-23 kebangsaan.

Skuad B-23 kebangsaan dapat tonik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) mendapat tonik terbaik apabila berjaya mendapatkan empat pemain berpengaruh untuk di­serapkan ke dalam senarai pasukan yang menjalani kem latihan pusat sebagai persedian ke Piala AFF B-23 2022 di Kemboja nanti.

Empat pemain tonggak adalah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan tiga pemain pertahanan, Ahmad Zikri Mohd. Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar dengan semua pemain merupakan ‘ubi muda’ kelab Selangor FC.

Semua pemain terbabit merupakan tunjang dalam kejayaan skuad muda Harimau Malaya dalam menjuarai peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia, Oktober lepas.

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney sebelum ini sedikit terkilan apabila gagal mendapatkan khidmat pemain tengah yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Ahmad dan penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin untuk kejohanan kali ini.

Namun, Maloney masih membuka pintu buat pemain-pemain ini menyertai skuad negara khususnya pada kem latihan pusat akan datang yang mana tugasan seterusnya adalah memburu pingat emas temasya Sukan SEA 2020 di Hanoi, Vietnam pada Mei depan.

“Saya sentiasa mahukan pemain terbaik dalam pasukan dan sering berkomunikasi dengan mereka daripada masa ke semasa dan mana-mana pemain yang terlepas dalam senarai kali ini diharapkan dapat kembali pada kejohanan seterusnya,” kata pengendali import dari Australia itu.

Skuad B-23 negara yang diundi dalam Kumpulan B akan mulakan kempen menentang Myanmar pada Selasa depan, diikuti Laos (18 Februari) sebelum menentang juara bertahan, Indonesia pada 21 Februari.

Selepas kejohanan Piala AFF B-23 dan Sukan SEA 2020, skuad muda negara mengalihkan tumpuan untuk dua tugasan penting pada saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan dan temasya Sukan Asia di China.

POPULAR