fbpx

Pak belang lenyap 2032

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

KEMUNCULAN harimau belang yang keluar daripada habitat asalnya dan berkeliaran di kawasan yang tidak sepatutnya se­ring terjadi mutakhir ini.

Malah ada penduduk sekitar sempat merakam video kelibat haiwan yang sinonim dengan gelaran raja rimba itu yang sedang berkeliaran dan dikongsi di media sosial.

Beberapa hari lalu, tular rakaman video berdurasi 17 saat yang sempat dirakam pengguna jalan raya yang menunjukkan seekor harimau belang sedang berkeliaran di kawasan semak yang berbukit berdekatan Hutan Simpan Kekal Bukit Tapah di Tapah, Perak.

Kemunculan harimau be­lang di kawasan yang tidak sepatutnya merupakan satu perkara yang membimbangkan kerana ia boleh menimbulkan insiden konflik antara manusia dengan harimau.

Konflik ini boleh mendatangkan ketakutan kepada manusia kerana harimau belang merupakan haiwan yang mempunyai kemampuan untuk mencederakan sehingga boleh menyebabkan kematian seseorang.

Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim menjelaskan, sejak kebelakangan ini, telah berlaku beberapa insiden di mana harimau mula keluar daripada habitatnya dan mendekati kawasan penempatan manusia.

Menurutnya, berikutan berlaku peningkatan insiden sebegini, adalah sangat penting untuk kita mencari jalan penyelesaian secara holistik dalam menangani masalah konflik antara manusia dengan harimau.

“Untuk berbuat demikian, kita haruslah memahami sifat semula jadi harimau, mengenal pasti punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya konflik dan mengambil tindakan penyelesaian dengan kadar segera.

“Harimau memerlukan kawasan rayau yang luas dan keluasan ini biasanya ditentukan oleh populasi mangsa harimau yang terdapat di kawasan tersebut,” katanya.

Tambahnya, di Malaysia dan juga negara-negara lain yang masih mempunyai harimau ­spesies ini menghadapi tekanan berterusan daripada pemburu haram, dibunuh disebabkan konflik dan kehilangan habitat.

Selain itu, mereka juga terpaksa bersaing untuk mendapatkan ruang dengan populasi manusia yang kian meningkat dan semakin padat.
Permasalahan tersebut juga telah menyebabkan harimau belang ini diancam kepupusan.

Sementara itu, hasil cerapan yang dijalankan melalui 1st National Tiger Survey di hampir 75 peratus plot kajian habitat harimau bermula tahun 2016-2018 telah menunjukkan bilangan harimau belang yang direkodkan adalah kurang daripada 200 ekor.

Data ini menunjukkan populasi harimau belang berada pada tahap yang amat membimbangkan.

Jika tiada tindakan drastik yang dijalankan bagi mengatasi masalah penurunan populasi harimau belang ini, jangkaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sosio Perundangan dan Sains Kelestarian di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Universiti Malaya, Dr. Mohd. Istajib Mokhtar ber­kata, terdapat beberapa punca yang menjadi penyebab harimau belang kini semakin terancam.

Menurutnya, kehilangan habitat hutan juga menjadi faktor utama yang mengancam populasi haiwan terbabit.

“Hutan berperanan sebagai ‘koridor’, ‘dapur’ dan ‘bilik tidur’ bagi haiwan ini.

“Degradasi hutan menyebabkan harimau kekurangan sumber makanan, manakala fragmentasi hutan pula menyebabkan ‘bilik tidur’ dan ‘koridornya’ musnah sehingga sukar berjumpa ‘jodoh’ untuk melahirkan penyambung zuriat,” jelasnya.

Tambah beliau, punca lain yang menyebabkan haiwan itu hampir pupus adalah disebabkan pemburuan haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN