fbpx

Injunksi Mareva, Najib dihalang alih, lupus asetnya AS$681 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini semalan memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga pada nilai AS$681 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan Injunksi Mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Prosiding itu berlangsung secara dalam talian semalam melalui aplikasi Zoom. Injunksi Mareva adalah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara kes sedang berjalan.

Perintah itu berkuatkuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya terhadap Najib dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Pada masa sama, Najib juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000.00 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Mengikut perintah itu, sekiranya Najib memerlukan lebih daripada RM100,000.00 sebulan, beliau hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam saman itu.

Jika tiada kebenaran bertulis diberikan, Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada mahkamah.

Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified  (defendan pertama dan kelima dalam saman) berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat aset dan maklumat itu hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada Peguam plaintif pertama dan kelima.

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini  melebihi jumlah AS$681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu  asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681 juta.

Mahkamah juga kemudian menetapkan 21 Februari ni untuk mendengar injunksi inter parte (dua pihak). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI