fbpx

Lia Aziz bukan sekadar ‘kucu kuca’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIA AZIZ

DALAM tempoh hampir setahun kebelakangan ini, barangkali, sekurang-kurangnya sekali, kita semua pernah mendengar sebuah dendangan rancak berjudul Kucu Kuca.

Bukan setakat orang dewasa, malah lirik lagu trending tersebut turut menjadi siulan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekolah rendah mahupun menengah.

Rancak meraih sambungan dengan catatan lebih 12 juta tontonan dalam YouTube sejak dilancarkan 10 bulan lalu itu, namun sehingga kini masih ada kalangan khalayak yang masih tidak mengenali siapakah gerangan si penyanyinya.

Bahkan tidak keterlaluan jika disebut bahawa lagunya jauh lebih dikenali peminat berbanding identiti sebenar pemilik vokal lunak bernama Lia Aziz.

“Perkara tersebut memang saya akui. Ramai orang lebih kenal lagu berbanding diri saya.

“Tapi tak mengapalah, itu bukan salah mereka. Apa yang paling penting, lagu yang saya bawakan sampai dan boleh diterima peminat. Itu sudah cukup bagi saya,” tutur Lia tersenyum manis.

Meneruskan kata, Lia atau nama lengkapnya Nuraliah Farzana Abd Aziz, tidak menafikan single sulung tersebut memang banyak membantu memperkenalkan namanya dalam industri.

Gadis berusia 19 tahun tidak pernah menyangka lagu sentuhan komposer muda Ejai Aziz itu akan mendapat sambutan luar biasa daripada khalayak.

GADIS berusia 19 tahun dengan suara unik ini tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, namun berjanji melakukan sehabis baik sepanjang beraksi di pentas Big Stage 2022.

Cabar diri

Rentetan itu jugalah katanya, dia mendapat banyak sokongan dan permintaan untuk mencuba nasib bertanding dalam pentas Big Stage musim keempat (BS4) yang baru sahaja memulakan saingan kelmarin.

“Sebenarnya bila dapat tahu terpilih sebagai finalis BS4, saya dihantui macam-macam perasaan.

“Rasa gementar, takut memang ada. Sementelah, saya merupakan antara peserta termuda dan paling kurang pengalaman. Baru dua tahun dan masih mentah.

“Mereka yang lain masing-masing pernah menyertai pertandingan berskala besar.

“Tapi jauh di sudut hati memang saya bangga dengan diri sendiri sebab tak sangka pertama kali datang uji bakat terus terpilih,” katanya.

Lia secara jujurnya tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi, namun berjanji akan melakukan dan memberikan yang terbaik di atas pentas.

Kata Lia lagi, kalah menang bukan penentu segalanya dan itu semua terserah kepada rezeki. Niat utamanya menyertai BS4 lebih kepada menggilap bakat serta mengembangkan lagi karier seni.

“Bagi saya bukan mudah nak masuk pertandingan besar seperti ini. Saya tak mahu letak sebarang harapan tinggi, tapi saya mahu cuba lakukan yang paling terbaik.

“BS4 juga saya sifatkan sebagai sebuah platform terbaik untuk menggilap bakat nyanyian selain satu cabaran baharu untuk membawakan pelbagai rentak dan jenis lagu selepas ini,” katanya.

LIA AZIZ meletakkan bab pendidikan sebagai keutamaan sama seperti dia menyayangi karier seninya sebagai penyanyi.

Pecah sangkaan

Tambah Lia, pertandingan yang disertai bintang-bintang muda tersebut menjadi medan untuk membuktikan yang kemampuannya menyanyikan pelbagai genre dan bukan sekadar ‘kucu kuca’.

Terang Lia, dia tahu dan sedar ramai peminat muzik lokal berpendapat dirinya hanya mampu bawa satu genre lagu.

“Tidak dinafikan memang betul ramai yang kenal saya termasuk peminat berpendapat saya hanya boleh bawa satu jenis genre lagu saja.

“Jadi dalam pentas BS4 ini, saya akan buktikan yang saya juga mampu dan boleh membawakan pelbagai genre yang lebih mencabar.

“Inilah masa paling sesuai dan tepat untuk saya mencabar diri seterusnya mengubah genre dengan menyanyikan lagu berentak lain,” katanya.

LIA mengakui teruja bercampur gementar apabila lolos sebagai finalis BS4 walau hanya dengan sekali percubaan.

Tak ganggu

Mungkin ramai juga dalam kalangan pengikut tidak tahu, selain aktif menyanyi, Lia juga kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik.

Mengakui hakikatnya pengurusan masa antara pengajian dan karier bukanlah satu perkara yang mudah, namun situasi tersebut tidak menjadi halangan buatnya melakukan dua kerja pada satu masa.

Kata Lia, pembabitannya dalam BS4 sama sekali tidak mengganggu jadual pengajiannya di Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan muzik.

“Ya memang kini saya sedang belajar. Tapi syukur, sepanjang dua bulan bermula awal Februari saya tiada kelas dan kebetulan semua pelajar sedang bercuti semester selama dua bulan.

“Jadi, memang langsung tidak mengganggu jadual pertandingan BS4, sebab semester baharu akan bersambung sekitar Mei nanti,” ujarnya.

Bagi memastik dua segmen hidupnya, karier dan akademi tidak bercelaru, anak kelahiran Kuala Lumpur itu sedar, dia perlu bijak dalam soal pengurusan masa. Baginya, kedua-dua cabang itu sama penting dan mahu dikerjakan sehabis baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI