fbpx
Gambar hiasan

Sampai bila perlu ‘bermain wayang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FITRIE MUHAMMAD, Wartawan Eksekutif Kosmo!

KAKI kipas! Umum sudah cukup terbiasa dengan frasa ini dan ia dikaitkan dengan pelbagai lapisan, tidak kira di tempat kerja, sesebuah organisasi dan tidak ketinggalan dalam pentadbiran persatuan sukan.

Ia sudah wujud dalam per­sekita­ran harian kita sejak sekian lama dan tiada gambaran yang menunjukkan budaya kurang si­hat ini akan pupus.

Secara kasarnya, tiada jaminan kejayaan mampu diraih sekiranya setiap jawatan diisi oleh individu yang mencari kepentingan peri­badi dan berpendirian ‘Yes Bos’.

Jika sesebuah organisasi terus dibayangi golongan ‘pembodek tegar’ sehinggakan ada ramai yang lebih berkelayakan dilepaskan tanpa diberi ruang untuk berbakti, maka kejayaan diimpikan akan terus jadi mimpi tak sudah.

Walaupun tidak sedap untuk didengar, persatuan sukan di negara ini sebenarnya memerlukan lebih ramai ‘kaki melawan’ untuk menganggotai sesebuah jawatankuasa ataupun pucuk pimpinan.

Mengambil contoh kegagalan Harimau Malaya di pentas Piala AFF Suzuki sebelum ini, hanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menjadi sasaran kecaman.

Walaupun pahit, sebagai ke­tua, Hamidin memang perlu menghadapi hakikat ini dan dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, setiap orang boleh mengutarakan kritikan atau pun sebarang pendapat.

Cuma yang kurang enak untuk dilihat, selepas sekian dihentam teruk, muncul pula kelompok tertentu yang mengutarakan pendapat dan cuba mempertahankan pucuk pimpinan FAM sedangkan sebelum ini hanya Hamidin berkeseorangan menepis sera­ngan.

Tampil ke hadapan dan beri sokongan memang bagus, tetapi adakah ia memadai jika tanpa ada gerak kerja untuk bantu pucuk pimpinan tertinggi?

Bukan mengambil pendirian untuk mempertahankan Hamidin untuk terus kekal di kerusi empuk, namun situasi ketika ini bukanlah masa sesuai bagi mana-mana pihak tampil ‘mencuri’ kredit di atas kegagalan pasukan kebangsaan.

“Ketika FAM dihentam hebat oleh netizen, tak ada satu pun kelab yang bersuara di atas kegagalan tersebut. Walhal mereka juga yang melahirkan pemain pemain tersebut,” kata bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir.

Di sebalik tindakan pantas FAM melantik Kim Pan-gon sebagai pengendali Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe, ia dilihat bukan jaminan sekiranya badan induk itu tidak mendapat sokongan penuh daripada kelab tempatan.

Benarlah apa yang diperkatakan oleh Jamal Nasir, kejayaan Harimau Malaya hanya tinggal mimpi jika FAM tiada sokongan daripada pasukan tempatan untuk melahirkan pemain-pemain berkua­liti.

“Kalau kelab tidak lahirkan pemain berkualiti, macam mana kita nak ada pasukan kebangsaan yang kuat? Kita tanya kelab dulu, mereka buat perkara betul atau tidak kerana kalau mereka tidak sediakan latihan yang cukup kepada pemain, macam mana kita mahukan pemain yang terbaik untuk Harimau Malaya.

“FAM tidak ada pasukan dan semua ahli gabungan serta pasukan perlu ambil tanggungjawab ini. Kita adalah keluarga bola sepak dan kita kena bantu antara satu sama lain.

“Kalau pemain yang disediakan tidak bagus, bawalah jurulatih hebat mana pun kita tetap tidak akan kemana,” katanya.

Kesimpulannya, berhentilah ‘main wayang’ kerana Hamidin bukannya ahli silap mata dan turut memerlukan bantuan daripada semua pihak untuk menggerakan perancangan FAM mengikut Pelan F:30.

Tepuk dada, tanya selera!.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN