fbpx

Bas The Red Warriors jadi kedai gunting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Firdaus sedang mengunting rambut seorang pelanggannya di kedai gunting rambutnya di Denai Alam, Shah Alam, hari ini. /FOTO MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Penat kerana kerap berpindah kedai membuatkan seorang tukang gunting rambut nekad membeli sebuah bas ekspres dua tingkat yang pernah digunakan pasukan Kelantan untuk dijadikan premis perniagaan di Jalan Elektron U16, Denai Alam di sini.

Bas tersebut dibeli Firdaus Yusof, 39, pada harga RM85,000 daripada sebuah syarikat di Pengkalan Chepa, Kelantan pada September tahun lalu.

Menurut Firdaus, sebelum ini dia pernah menyewa dua premis di kawasan berhampiran untuk perniagaan mengunting rambut.

Bagaimanapun, pemilik dua premis itu menjual kepada orang lain menyebabkan dia terpaksa berpindah selepas mengeluarkan kos pengubahsuaian mencecah RM50,000.

“Jadi, saya ambil pendekatan menguar-uarkan membeli bas untuk dijadikan kedai gunting rambut di laman Facebook. Akhirnya memilih bas yang pernah digunakan The Red Warriors demi menjayakan impian itu,” kata ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Bercerita lanjut, pemuda dari Kampung Paya Dalam, Melaka itu memberitahu, dia sanggup mengambil Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi membawa bas tersebut ke Shah Alam.

Firdaus yang menceburi bidang gunting rambut sejak lapan tahun itu memaklumkan, dia telah mengeluarkan modal RM5,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian bahagian dalam bas, bahagian bawah pula dijadikan ruang menunggu.

“Bahagian atas digunakan untuk mengunting rambut dengan dibantu tiga pekerja,” katanya yang baru memulakan operasi selama lima hari.

Tambah Firdaus, setakat ini, dia mengambil tempahan 20 pelanggan sehari dan dalam proses memohon pelan kejuruteraan tauliah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan bagi membuat kerja pengubahsuaian di dalam bas mengikut konsep kedai gunting rambut.

“Sekiranya permohonan itu diluluskan, saya akan memohon lesen perniagaan daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya dapat menjalankan perniagaan secara sah,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI