PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menjangkakan pelaksanaan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok bakal mengurangkan kematian akibat kanser dihidapi ramai penduduk Malaysia.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penggubalan akta baharu yang akan dibentangkan di Parlimen itu juga diharap mampu mengurangkan jumlah bakal perokok baharu di negara ini.
“Secara tidak langsung pihak kementerian selepas ini boleh memberi lebih tumpuan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ia bersempena dengan Hari Kanser Sedunia yang diraikan pada 4 Februari setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat untuk mencegah peningkatan barah.
Kanser merupakan penyakit tidak berjangkit dan penyebab kematian kedua di dunia dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan jumlah kematian naik setiap tahun.
Di Malaysia pula, kanser menjadi penyebab utama kematian di hospital swasta dan keempat di fasiliti kementerian serta antara 10 sebab kemasukan utama ke hospital swasta dan awam. – K! ONLINE