SHAH ALAM – Kesal terhadap kelewatan pengagihan peruntukkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) membuatkan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini.
Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris berkata, pihaknya menerima ratusan aduan daripada mangsa banjir dari seluruh negeri itu yang masih belum menerima dua bantuan berkenaan.
Katanya, ini seterusnya mempersoalkan kecekapan pengurusan kerajaan negeri dalam mengagihkan kedua-dua bantuan itu walaupun telah hampir dua bulan berlakunya banjir teruk itu.
“Malah saya difahamkan, separuh daripada 60,000 mangsa banjir di seluruh negeri ini langsung belum mendapat sebarang wang bantuan daripada kerajaan negeri.
“Apa sebenarnya yang berlaku kepada kerajaan negeri kerana kejadian banjir dah berlaku hampir dua bulan, tapi masih ramai yang belum dapat bantuan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan memorandum berkaitannya kepada salah seorang Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohd. Izzat Latif di pekarangan
Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor. -K! ONLINE














