fbpx
SEMASA kuda berlari laju, penunggangnya akan membidik anak panah ke sasaran yang terletak bersebelahan trek.–MOHD. SHAJEHAN MAAMIN

Hidupkan sukan sunnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sukan memanah berkuda menguji keberanian diri dan rasa percaya kepada kuda yang ditunggangi apabila penunggangnya perlu melakukan aksi ‘lepas tangan’ untuk membidik panah ke sasaran di kala haiwan itu berlari kencang.

Justeru, Kem Memanah Berkuda Cavara di Cape Cavallho di Rembau, Negeri Sembilan menyediakan kemudahan tersebut bagi sesiapa yang berminat dalam sukan tersebut.

Jurulatih sukan memanah berkuda, Abu Dzar Zakaria menerangkan, sukan ini adalah gabungan antara memanah dan berkuda.

Abu Dzar berkata, untuk itu sebelum boleh memanah dari atas kuda, peserta harus menguasai dua jenis panahan terlebih dulu iaitu panahan laju dan panahan dinamik.
—————————————————————————————————————————————–
RIAK wajah Nur Husnina Maisara Hoslan langsung tidak kelihatan gementar walaupun kuda yang ditungganginya itu sedang berlari laju.

Sebaik sahaja kuda itu mendekati kawasan sasaran, tanpa melengahkan masa, Nur Husnina mengangkat busur yang digenggam erat olehnya dan membidik anak panah ke sasaran.

“Ini adalah kali pertama saya mencuba aktiviti memanah berkuda. Ternyata ia memberikan kepuasan tersendiri yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

“Pada mulanya perasaan takut hadir dalam diri, tambahan pula saya baru mempelajari sukan ini, tetapi setelah beberapa kali melakukannya keyakinan mula tercetus,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur kepada K2.

Nur Husnina baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk menyertai Kem Memanah Berkuda Cavara yang diadakan di Cape Cavallho di Rembau, Negeri Sembilan.

PANAHAN hanya dikira jika dilakukan semasa kuda berlari laju.

Boleh dikatakan, setiap bulan, Cape Cavallho ada menganjurkan kem memanah berkuda.
Gadis berusia 24 tahun itu menjelaskan, dia menyertai kem tersebut sebagai salah satu cara untuk dirinya menerokai perkara baharu.

Pun begitu, sebelum ini, dia terlebih dulu melibatkan diri dalam sukan memanah.

“Saya mula mengikuti sukan memanah sejak tahun 2019, tetapi saya ingin tambah ilmu dan sebab itu saya menyertai kem memanah berkuda pula.

“Sebelum ini saya tiada asas untuk menunggang kuda, tetapi apabila menyertai kem ini saya bukan hanya boleh menunggang kuda sebaliknya turut boleh memanah dari atas kuda,” katanya yang merupakan seorang guru.

Dalam pada itu, Husnina memberitahu, dia juga menyimpan hasrat untuk menyertai liga memanah berkuda dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.

Disebabkan itu, dia nekad berusaha memantapkan lagi kemahiran memanah berkuda sebelum berbuat demikian.

Melihat dari sudut agama pula, memanah dan berkuda merupakan sunah Rasulullah SAW.
Malah terdapat sebuah hadis di dalam Jami’ al-Tarmizi yang menunjukkan galakan memanah dan juga berkuda.

Daripada Uqbah Amir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda.
“Lemparkanlah panah dan tunggangilah kuda.”


SETIAP peserta perlu menguasai teknik panahan laju dan panahan dinamik untuk melakukan aktiviti ini.

Justeru, tidak ketinggalan menghidupkan sunah itu ialah Mohd. Kasuraidi Deraman, 46, yang turut mengikuti kem memanah berkuda tersebut.

Menurutnya, dia telah lama berminat dengan sukan itu tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan masa.

“Kem kali ini berbeza kerana hanya mengambil masa selama tiga hari.

“Saya sendiri tidak menyangka kerana dalam tempoh masa cuma tiga hari saya sudah boleh memanah sambil berkuda,” jelasnya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Mohd. Kasuraidi berkata, sukan memanah berkuda ternyata menguji keberanian dirinya apatah lagi dia sebenarnya tidak pernah menunggang kuda.

“Di sini saya belajar menunggang kuda dalam tempoh yang agak singkat. Pada mulanya ada juga rasa takut untuk mengendalikannya.Tetapi dengan tunjuk ajar yang betul, saya kini boleh menunggang kuda dan dalam masa sama melepaskan anak panah secara serentak,” ujarnya.

Tambahnya, melepaskan anak panah ketika kuda sedang berlari laju bukanlah sesuatu yang mudah dan pada mulanya dia sendiri tidak percaya mampu untuk menguasai kemahiran itu dalam tempoh yang agak singkat.


AKTIVITI ini menanam rasa kepercayaan kepada kuda.

Mohd. Kasuraidi berkata, setelah menguasai kemahiran itu dia berhasrat menyebarkan mengenai aktiviti tersebut kepada orang lain yang berminat selepas ini.

“Sebolehnya saya ingin lebih ramai orang terlibat dalam sukan memanah berkuda ini memandangkan ia merupakan satu sunah,” ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih sukan memanah berkuda, Abu Dzar Zakaria menerangkan, sukan ini adalah gabungan antara memanah dan berkuda.

Oleh itu, menurutnya, peserta harus menguasai kemahiran memanah dan berkuda secara serentak.

“Untuk peserta yang menyertai kem kali ini mereka kesemuanya tiada asas untuk menunggang kuda.
Jadi kami harus mengajar mereka cara menunggang kuda terlebih dulu bermula kuda berjalan, berlari anak sehinggalah berlari laju,” jelasnya.

Menurutnya, dalam disiplin memanah berkuda, peserta harus memanah ketika kuda sedang berlari laju. Dalam pertandingan, jika panahan dibuat selain daripada keadaan itu ia akan tidak dikira.

Kemudian, peserta juga harus menguasai kemahiran untuk memanah. Kem tersebut menyediakan trek larian kuda sepanjang 100 meter dengan tiga sasaran panahan berjarak 5 hingga 10 meter bersebelahan trek itu.

Jarak sasaran bagaimanapun boleh ditambah mengikut keperluan.

Abu Dzar berkata, biarpun ada peserta yang telah menguasai kemahiran memanah mereka harus mempertingkat kemahiran kerana memanah di atas kuda berbeza dengan memanah di atas tanah.


MENUNGGANG kuda dan memanah merupakan aktiviti sunah Rasulullah SAW.

Abu Dzar berkata, untuk itu sebelum boleh memanah dari atas kuda, peserta harus menguasai dua jenis panahan terlebih dulu iaitu panahan laju dan panahan dinamik.

“Menguasai panahan laju ini amat penting kerana kuda bergerak laju dan peserta harus memanah di setiap kawasan sasaran yang telah ditetapkan.

“Setiap bidikan anak panah dari atas kuda yang dilepaskan pada sasaran, para peserta harus lakukannya dalam masa kurang tiga saat,” jelasnya.

Selain itu, peserta juga harus menguasai panahan dinamik.

Panahan dinamik ini disertai dengan pergerakan dan peserta harus memanah sambil berlari dan juga memanah sasaran yang digerakkan.

Jika kedua-dua panahan ini dikuasai peserta pasti boleh memanah dari atas kuda.

Sementara itu, dalam sukan ini penunggang dengan kuda harus ada kepercayaan antara satu sama lain.

PARA Peserta mengasah kemahiran memanah sebelum melakukan aktiviti itu.

“Dalam sukan ini penunggang akan fokus untuk melepaskan panahan dan beri kepercayaan sepenuhnya kepada kuda. Kuda tahu apa tugas yang harus dilakukan. Jika kita berasa takut, kuda juga boleh tahu apa yang kita rasa.

“Oleh itu kepercayaan kepada kuda amat penting dalam sukan memanah berkuda ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN