fbpx

Gara-gara serah kad ATM, dua lelaki ditahan kes tipu dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan dalam talian selepas mereka menyerahkan kad ATM kepada ejen peminjam wang.

ALOR SETAR – Tindakan dua lelaki menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bersama maklumat perbankan kepada ejen peminjam wang menjerat diri apabila mereka ditahan polis hari ini.

Kedua-dua lelaki berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan e-dagang melibatkan jual beli kamera di laman mudah.my dan kereta di Facebook.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua individu terbabit memaklumkan telah mengepos kad ATM mereka kepada satu alamat dengan tujuan untuk membuat pinjaman wang secara dalam talian.

“Semua maklumat perbankan seperti kata laluan, kata laluan perbankan internet dan maklumat keselamatan turut diserahkan kepada ejen peminjam wang sebagai syarat untuk membuat permohonan pinjaman wang secara dalam talian.

“Selepas kad ATM diposkan, sindiket ini akan menjual pula kad ATM tersebut kepada mana-mana sindiket seperti sindiket Macau scam, love scam, pelaburan dan pinjaman wang tidak wujud serta penipuan belian online,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pemilik akaun bank akan tersedar kad ATM mereka digunakan untuk kemasukan wang penipuan selepas pihak polis menghubungi mereka atau sekatan akaun dibuat oleh pihak bank.

Ahmad Shukri berkata, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Dalam pada itu katanya, kadar kes penipuan e-belian komersial IPD Kota Setar bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu adalah sebanyak 105 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak 66 kes.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 39 kes pada tahun lalu,” jelasnya.

Tambahnya, peningkatan kes tersebut menyebabkan jumlah kerugian juga bertambah daripada RM525,535 pada tahun 2020 kepada RM1.3 juta pada tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI