fbpx

‘Takkan tunggu nyawa melayang, baru ada lampu isyarat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NASHRAH (kanan) mendengar penjelasan daripada Mohd. Khir mengenai situasi simpang yang mengundang kemalangan kepada pengguna di Kampung Lesung Tujuh, Kulim semalam.

KULIM – Pengguna yang melalui Jalan Sidam Kanan merayu kerajaan membina lampu isyarat di simpang empat Jalan Sidam Kiri-Jalan Pokok Jambu, Padang Serai, di sini bagi memudahkan urusan lebih 2,000 penduduk terutama pada waktu puncak.

Persimpangan itu merupakan laluan penduduk dari Kampung Lesung Tujuh, Kampung Bukit Sidam ke Kampung Sidam Kanan serta jalan utama untuk me­nuju ke Sungai Petani dan Kulim atau ke pekan Padang Serai.

Laluan itu turut digunakan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Lobak, Maktab Mahmud Cawangan Kulim, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Lela Pahlawan dan SMK Padang Serai setiap hari.

Penduduk dari Kampung Bukit Sidam, Mohd. Khir Osman, 66, berkata, situasi itu menjadikan simpang tersebut sibuk de­ngan lalu lintas dan boleh membahayakan nyawa pengguna.

“Tanpa lampu isyarat, pengguna jalan raya terutama ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah terpaksa mengambil risiko serta masa yang lama untuk melepasi simpang ini.

“Keadaan trafik semakin sibuk terutama waktu puncak dan sudah sampai masanya kami me­nerima kemudahan lampu isyarat kerana kenderaan yang melalui Jalan Sidam Kiri-Pokok Jambu semakin bertambah,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd. Khir ditemui bersama Ketua Armada Bersatu Bahagian Padang Serai, Mohd. Nashrah Md. Sultan yang meninjau ke­adaan persimpangan itu.

Abdul Hamid Abdullah, 78 pula mendakwa, laluan itu sibuk pada waktu pagi dan petang iaitu semasa pekerja pergi dan pulang ke tempat kerja.

“Kerap berlaku kemala­ngan kecil dan serius ekoran segelintir pemandu memandu laju dan tidak sempat mengelak kendera­an lain keluar simpang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nashrah berkata, dia akan menghantar surat pemohonan sekali lagi kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri dan Pejabat Daerah Kulim agar pihak ter­babit memasang lampu isyarat di simpang itu demi keselamatan pengguna. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI