PETALING JAYA – Isu membabitkan kesihatan dalaman dan kejantanan golongan lelaki mungkin masih dianggap taboo dan klise sehingga kini.
Pendek kata ia banyak dipendam sendiri golongan suami khususnya hingga ramai yang menafikan permasalahan berbangkit mereka itu.
Masalah mati pucuk dan lemah tenaga batin antara yang sering dikaitkan dan berbangkit terutama lelaki yang meningkat usia hingga boleh memusnahkan institusi kekeluargaan.
Justeru, syarikat Suami Sihat Sdn. Bhd., terpanggil bagi menyediakan khidmat kesihatan sehabis baik untuk golongan lelaki dan suami melalui perkongsian menerusi portal SuamiSihat.com.my.
Pengasas bersama, Idham Fitriadi berkata, dia optimis portal itu mampu mendidik ramai lagi lelaki supaya memandang serius hal berkenaan kesihatan lelaki.
Katanya, golongan lelaki di negara ini sering memandang remeh mengenai kesihatan mereka malah sukar untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan hingga kerap menyelesaikannya sendiri.
“Pelbagai cara turut digunakan sebagai jalan pintas untuk mengatasi masalah itu seperti menggunakan minyak lintah, pam vakum dan suntikan silikon pada zakar.
“Sebenarnya, di sebalik keghairahan ini, tanpa mereka sedar, tindakan itu mendedahkan kepada risiko yang boleh meragut nyawa.
“Justeru, kami mengambil inisiatif ini dengan mewujudkan portal kesihatan dan klinik lelaki untuk membantu meningkatkan kecergasan tenaga dalaman mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, matlamat utama ialah menyediakan sebuah pusat sehenti bertujuan membina komuniti yang peka terhadap kesedaran kesihatan lelaki sekali gus menyangkal segala salah faham yang terjadi.
Jelasnya, usaha ini juga bertujuan supaya mereka lebih terbuka untuk berjumpa dengan doktor dan bukan hanya bergantung kepada petua tradisional semata-mata. – K! ONLINE