fbpx

Pemilik kedai vape didenda sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lizawarty didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menjual dan memiliki cecair berisi nikotin bagi vape.

SHAH ALAM – Seorang pemilik kedai vape didenda sekali lagi sebanyak RM4,000 di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual dan membekalkan cecair vape berisi nikotin tanpa lesen, empat tahun lalu.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menjatuhi hukuman itu selepas Orang Kena Saman (OKS) Lizawarty Mohd. Dalal, 51, membuat pengakuan berkenaan selepas dua pertuduhan dibacakan kepadanya.

Lizawarty turut diperintahkan penjara dua bulan keseluruhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan barang kes termasuk wang tunai RM70 bagi urusan jual beli cecair vape diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk perlupusan.

Berdasarkan rekod, OKS pernah didenda RM4,500 pada Disember tahun lalu atas kesalahan sama yang dilakukan pada 2019.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa bukan sebagai orang dilesenkan dibawah Akta Racun 1952 telah menjual secara runcit satu botol vape jenis Binjal-XL Juice Grapest berisi nikotin kepada seorang lelaki berusia 30 tahun.

Justeru, dia telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16(5) Akta Racun 1952.

Lizawarty turut didakwa telah memiliki 63 kotak dan 18 botol bagi 11 jenis cecair vape berisi nikotin dengan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kedainya di Seksyen 7 di sini pukul 2.45 petang dan 3 petang pada 29 Januari 2018.

Kesemua kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Lizawarty tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah kerana menanggung ramai anak.

Pegawai Pendakwa JKNS Muhammad Farid Ismail bagaimanapun menegaskan nikotin adalah sejenis racun yang dikawal dan memerlukan orang yang dilesenkan sahaja untuk menjual dan mengawal penggunaannya.

“Dikhuatiri akan wujudnya penyalahgunaan racun oleh pihak OKS dan mohon hukuman setimpal sebagai pengaran kepada OKS,” jelasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI