SETIAP daripada kita mungkin ada peristwa yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam hidup sama ada kisah sedih, menyeramkan atau apa sahaja.
Itu yang berlaku kepada seorang gadis yang tidak dapat melupakan peristiwa seram yang berlaku sewaktu bersia 15 tahun yang mana terserempak dengan pocong yang memunculkan diri di siang hari.
Pada mulanya, dia berasakan itu mungkin mainan perasaan, namun pendiriannya berubah selepas adik perempuannya turut menceritakan keadaan yang sama ternampak lembaga putih di hadapan rumah nenek mereka pada waktu pagi.
Dia yakin bahawa apa yang dilihatnya itu bukanlah satu mimpi, memandangkan adiknya juga turut mengalami keadaan sama.
———————————————————————————————————————————-
APABILA teringat pengalaman pernah terserempak dengan pocong di rumah nenek satu ketika dahulu, bulu roma gadis yang mahu dikenali sebagai Wawa itu berdiri dan dadanya terasa sempit.
Menurut Wawa, 34, bukan dia sahaja yang terserempak dengan kelibat menyeramkan itu, malah adik perempuannya juga turut mengalami kejadian serupa, menyebabkan dia tahu bukan bermimpi.
Jelas pekerja sebuah syarikat swasta di selatan tanah air itu, perkara tersebut berlaku ketika dia berusia 15 tahun.
Menurutnya, pada ketika itu, keluarganya tinggal di rumah neneknya di kampung.
Katanya, dia terserempak dengan makhluk menyeramkan itu ketika berjalan kaki pulang dari sekolah.
Memandangkan dia sudah biasa dengan laluan tersebut, gadis bertubuh tinggi lampai itu berani berjalan seorang diri.
“Biasanya, saya akan pulang ke rumah nenek bersama adik perempuan, namun pada hari itu dia tidak ke sekolah kerana kurang sihat,” katanya.
Ketika menghampiri rumah, tiba-tiba angin bertiup kuat, menyebabkan tubuh kurus Wawa terasa seram sejuk.
Wawa kemudian menoleh sekilas ke belakang dan sebaik sahaja menyedari tiada apa-apa yang luar biasa, dia meneruskan langkah.
Namun, baru melangkah dua tapak, dia terkejut melihat kelibat pocong yang terbaring kaku betul-betul di hadapan rumah neneknya.
Lebih menyeramkan jelas Wawa, pocong itu merenung tepat ke matanya.
Tubuh Wawa terasa seram sejuk, malah degupan jantungnya pula seakan-akan terhenti.

Langkah kakinya turut ‘mati’ dan ketika itu, Wawa hanya mampu menyebut kalimah Allah dengan nada yang amat perlahan.
“Ketika itu, saya hanya terfikirkan nenek dan dua orang adik yang ada di dalam rumah kerana pocong tersebut betul-betul terbaring di hadapan rumah nenek.
“Saya kemudian menelan air liur yang terasa kelat sebelum memejamkan mata. Sebaik membuka mata, pocong tersebut hilang daripada pandangan,” kata gadis itu yang pada mulanya menganggap ia satu mainan perasaan memandangkan berlaku di siang hari.
Wawa kemudian cepat-cepat masuk ke rumah neneknya dan mengakui tidak boleh tidur sepanjang malam kerana masih teringatkan peristiwa menyeramkan itu.
Keesokannya, gadis itu cuba melupakan kisah seram yang berlaku kepadanya dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Dia tidak menceritakan kisah tersebut kepada adik-adiknya kerana bimbang dianggap sebagai satu gurauan.
Namun, adik perempuannya pula membuka cerita ada terlihat satu kelibat menyeramkan di tepi sebatang pokok mangga di hadapan rumah nenek mereka.
“Dia menceritakan kepada saya terlihat satu lembaga putih.
“Biarpun ketika itu sudah siang, langit yang masih gelap menyebabkan suasana jalan itu terasa agak menyeramkan,” ujar Wawa.
Wawa terkejut dengan cerita adik perempuannya itu.
Bagaimanapun, dia kemudian yakin bahawa apa yang dilihatnya itu bukanlah satu mimpi, memandangkan adiknya juga turut mengalami keadaan sama.
“Saya tidak menceritakan apa yang saya lihat ketika pulang dari sekolah, namun saya yakin pocong itu memang benar-benar memunculkan dirinya di hadapan kami berdua pada waktu siang.
“Saya hanya mendiamkan diri kerana bimbang adik akan berasa takut,” tuturnya.
Biarpun perkara tersebut sudah berlaku hampir 20 tahun lalu, ia masih segar dalam ingatan, menyebabkan Wawa sentiasa berasa tidak sedap hati sekiranya terpaksa pulang ke kampung untuk melawat neneknya.
“Sejujurnya, selepas mula bekerja di negeri lain, saya ada mengelak untuk pulang ke rumah nenek.
“Saya memberikan pelbagai alasan memandangkan sukar melupakan apa yang dilihat ketika usia remaja,” jelasnya.
Selepas kematian neneknya pada 2016, rumah tersebut sudah pun dirobohkan dan Wawa tidak lagi mendengar kisah-kisah seram yang dikaitkan dengan kawasan tersebut.














