fbpx

SOP baharu umrah wajibkan dos penggalak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menggariskan tiga prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi perjalanan ibadah umrah yang akan bermula 8 Februari ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara SOP berkenaan termasuk memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu setiap jemaah dilindungi oleh insurans yang memberi perlindungan kesihatan termasuk keperluan rawatan, isolasi dan kuarantin bagi jangkitan Covid-19 semasa di Arab Saudi dan semasa pulang ke Malaysia.

“Kami juga mahu syarikat pengendali umrah bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada jemaah mengenai tanggungjawab, tatacara, liabiliti dan arahan-arahan sepanjang perjalanan umrah jemaah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, SOP baharu perjalanan umrah itu telah pun diperhalusi MOTAC, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta akan dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusan.

Nancy berkata, proses memuktamadkan SOP baharu itu telah mengambil kira kepentingan semua pihak secara holistik termasuklah mengimbangi aktiviti umrah dengan pelaksanaan prosedur protokol kesihatan dan keselamatan yang lebih rapi.

“SOP baharu itu demi memelihara kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di Tanah Suci dan juga ketika jemaah pulang ke tanah air,” katanya.

Tambahnya, SOP tersebut adalah panduan untuk mengekang penularan Covid-19 ketika menjalankan aktiviti umrah.

Nancy berkata, beliau berharap bahawa keputusan itu akan disambut baik oleh syarikat pengendali umrah dan Keluarga Malaysia serta mengingatkan semua pihak untuk mematuhi SOP terbaru yang akan diumumkan kelak bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sejak Disember lalu, sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan melibatkan syarikat pengendali umrah seperti Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH), The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA),” katanya.

Pada 8 Januari 2022 yang lalu, kerajaan telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu dan wajar untuk menggantung sementara perjalanan menunaikan ibadah umrah setelah menilai data penularan Covid-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang ke tanah air. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI