fbpx
PASUKAN No.1 dunia, China tidak akan menghantar pasukan mereka pada BATC 2022 yang bermula 15 hingga 20 Februari depan. – AFP

Negara Tembok Besar tidak sertai BATC 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJOHANAN Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 bermula 15 hingga 20 Februari depan dijangka berlangsung dalam keadaan sedikit suram apabila pasukan No.1 dunia, China tidak menghantar pasukan pada edisi kali ini.

Ia gara-gara kebimbangan negara itu untuk membenarkan pemain-pemain mereka keluar menyertai pertandingan di luar negara kerana mahu mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia (BA), Saw Chit Boon berkata, 10 negara sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan dwitahunan itu selepas tarikh penyertaan negara ditutup 18 Januari lalu.

“Berdasarkan tarikh tutup untuk negara 18 Januari lalu, 10 negara sudah mengesahkan penyertaan mereka. Pa­ling mencuri tumpuan adalah Kazakhstan yang menghantar pasukan dalam kedua-dua ka­tegori lelaki dan wanita.

“Sementara itu, China tidak akan sertai edisi kali ini kerana tempoh kuarantin di sana sa­ngat lama iaitu 21 hari. Mereka sangat berjaga-jaga untuk benarkan pemain keluar dari China,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar BATC Selangor 2022 di Subang Jaya semalam.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BATC 2022, Mohd. Khairuddin Othman serta Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri Sela­ngor akan melakukan yang terbaik bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pemain serta penonton dipatuhi sepenuhnya sepanjang kejohanan berlangsung.

“Saya fikir Selangor sudah buat yang terbaik untuk pastikan semua SOP dipatuhi. Berhubung jumlah penonton, jawatankuasa pertandingan akan cuba pastikan penonton boleh masuk seramai mungkin,” tambah Chit Boon.

Sementara itu, Khairuddin menjelaskan, Selangor mengambil peluang menganjurkan kejohanan tersebut bagi menghidupkan semula aktiviti sukan dalam negara selepas lumpuh akibat pandemik Co­vid-19 sebelum ini.

“Antara kebaikan penganjuran ini adalah kita dapat cipta nama di peringkat antarabangsa selain hidupkan akti­viti sukan dalam negara. Banyak negara lain mahu jadi tuan rumah tetapi kita bertuah kerana dapat anjurkan kejohanan ini,” ujarnya.

POPULAR