fbpx

Pinjaman kepada Genting Hong Kong tidak jejas aliran tunai bank kepentingan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Azmin bercakap selepas hadir meninjau kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height di sini. -Foto FARIZ RUSADIO

SHAH ALAM – Pemberian pinjaman tanpa cagaran oleh tiga buah bank tempatan kepada syarikat Genting Hong Kong yang memfaikan pengulungan perniagaan baru-baru ini tidak akan menjejaskan aliran tunai bank serta agensi-agensi kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini berikutan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini meningkat sebanyak 5.8 peratus sejajar dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) sekitar 5.5 hinga 6.5 peratus.

Justeru, beliau yakin terhadap pertumbuhan tersebut bersama penjelasan yang diberikan Malayan Banking Berhad (Maybank) baru-baru ini mengenai ketahanan terhadap kesan penggulungan Genting Hong Kong.

“Saya menganggap penggulungan syarikat pelancongan dan perjudian antarabangsa itu tidak akan memberikan kesan kepada ekonomi negara.

“Maybank telah keluarkan kenyataan ia tidak akan berikan kesan, tetapi sekali lagi saya rasa MOF akan pantau situasi ini secara rapat.

“Setakat ini kenyataan daripada Maybank, tidak ada impak kepada kecairan (tunai) dan bank negara serta MOF akan mengambil tindakan untuk memastikan kecairan tunai kekal kukuh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor Pertama 2022 di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan tiga bank iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dijangka terimpak dengan penggulungan Genting Hong Kong yang mempunyai pinjaman kira-kira 600 juta Dolar Amerika Syarikat (AS) (RM2.51 bilion).

Syarikat berkenaan kini berhadapan penggulungan sebelum pengerusinya Tan Sri Lim Kok Thay meletakkan jawatan pada 21 Januari lalu apabila mempunyai liabiliti bernilai lebih 2.7 bilion Dolar AS (RM11.3 bilion) menerusi anak syarikatnya di Jerman, MV Werften.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamed Azmin berkata, kerajaan dijangka akan membelanjakan sebanyak RM8 bilion untuk pembangunan di Selangor menerusi Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) 3 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ujarnya, jumlah peruntukan tersebut adalah untuk melaksanakan 205 projek pembangunan di negeri ini yang sudah pun diluluskan untuk dibawa ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana menteri.

“Ini termasuklah tebatan banjir melibatkan beberapa lembangan di Selangor serta dua projek ‘sakit’ iaitu pembinaan sebuah sekolah di Semenyih dan jambatan di Hulu Selangor.

“Kesan banjir baru-baru ini bukan sahaja beri kesan kepada rakyat tetapi juga ekonomi negeri dan negara. Kita mengambil maklum bahawa antara pusat aktiviti ekonomi yang pesat dan banyak industri, sektor perkilangan dan pembuatan di negeri ini,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI