KUALA SELANGOR – Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai cuba membunuh diri di Jambatan Besar Kuala Selangor di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 40 tahun itu terbaring di bahu jalan selepas berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 30 minit.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan enam termasuk pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.39 malam.
“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki mangsa yang berpakaian lengkap sedang terbaring di jambatan itu dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa sebelum itu dipercayai mahu terjun ke sungai namun diselamatkan anggota polis yang memujuknya dalam tempoh kira-kira 30 minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya yang turut disertai van utiliti bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
“Punca mangsa bertindak cuba membunuh diri tidak diketahui,” katanya. -K!ONLINE